Rabu, 19 Julai 2017 | 4:01pm
Dr Anis Yusal Yusoff

Rasuah tak ada dalam 'kamus' mahasiswa

KUALA LUMPUR: Kajian Persepsi Mahasiswa Mengenai Rasuah mendapati 35.8 peratus responden menyifatkan perbuatan menerima hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan atas perkhidmatan diberikan bukan satu kesalahan rasuah.

Kajian dijalankan Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dalam kalangan mahasiswa di beberapa universiti utama turut menghasilkan dapatan 20.6 peratus responden beranggapan untuk 'terbabit secara langsung dalam proses pelantikan ahli keluarga untuk mengisi jawatan kosong di jabatan' sebagai perbuatan yang dibolehkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, berkata 28.1 peratus responden pula beranggapan tidak menjadi kesalahan untuk mengambil harta atau barangan pejabat seperti pemacu pena, toner, kertas dan lain-lain untuk kegunaan peribadi.

Beliau berkata, 37.3 peratus pula beranggapan bahawa mengemukakan tuntutan bagi tugas luar walaupun penginapan disediakan penganjur adalah suatu perbuatan yang tidak salah. 

Katanya, jika penemuan hasil kajian itu dijadikan kayu ukur, pihak berkepentingan perlu menyemak semula nilai yang dididik dan disemai dalam kalangan mahasiswa yang mungkin bermula sejak sekolah rendah.

"Kita khuatir kalau mahasiswa yang mempunyai pandangan seperti yang dijelaskan diatas terpengaruh dengan 'role model' yang salah.

"Mereka yang kelihatan seperti orang yang berjaya dalam kehidupan tetapi sebenarnya mendapat kejayaan dan kekayaan melalui jalan salah tidak sepatutnya dijadikan idola," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kajian itu membabitkan 402 mahasiswa bertujuan untuk memahami persepsi serta kefahaman mahasiswa masa kini mengenai rasuah di negara ini.

Daripada jumlah responden, 33.1 peratus adalah mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (47.5 peratus) dan Universiti Teknologi MARA (15.9 peratus), manakala bakinya iaitu 3.5 peratus dari universiti lain.

Anis Yusal berkata, dapatan kajian itu mewujudkan kebimbangan kerana mahasiswa akan memasuki alam pekerjaan dan menjadi pemimpin di tempat kerja dan dalam komuniti masing-masing.

Berita Harian X