Khamis, 20 Julai 2017 | 1:57pm
NAJIB Tun Razak bersalaman dengan orang ramai ketika hadir untuk merasmikan Broadwalk Tekek/Air Batang. - Foto Farizul Hafiz Awang
NAJIB Tun Razak bersalaman dengan orang ramai ketika hadir untuk merasmikan Broadwalk Tekek/Air Batang. - Foto Farizul Hafiz Awang

Subsidi 92 peratus untuk pembeli PPR Tekek Makmur

ROMPIN: Kerajaan memberi subsidi 92 peratus kepada pembeli 116 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tekek Makmur di Kampung Tekek, Pulau Tioman, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, pembeli yang juga golongan berpendapatan rendah (B40) hanya perlu membayar RM35,000 untuk memiliki rumah tiga bilik dan dua bilik air.

Malah, beliau berkata, kerajaan turut bersetuju memberi konsep sewa dan beli dengan kadar RM124 sebulan kepada 63 pembeli rumah berkenaan selama setahun.

"Inilah antara keistimewaan projek PPR ini dan kita boleh anggap ia mencatat sejarah tersendiri kerana mendapat subsidi paling banyak daripada kerajaan.

"Projek ini juga antara agenda sosial utama kerajaan kerana mahu sediakan kualiti kehidupan rakyat luar bandar yang lebih selesa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tekek Makmur, di Kampung Tekek, Pulau Tioman, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Adnan Yaakob, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hassan Ariffin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan.

Projek PPR Tekek menyediakan 116 unit rumah kluster setingkat dengan tiga bilik di kawasan seluas 3.288 hektar.

Projek bernilai RM46.75 juta itu mula dibina pada Julai 2012 dan siap sepenuhnya Ogos 2015 selain turut menyediakan padang permainan dan kedai.

Berita Harian X