Khamis, 20 Julai 2017 | 2:17pm
MUHAMMAD Arjuna, yang berusia 82 hari terlantar di hospital sejak dilahirkan berikutan masalah gangguan saraf pada otak. - Foto ihsan keluarga
MUHAMMAD Arjuna, yang berusia 82 hari terlantar di hospital sejak dilahirkan berikutan masalah gangguan saraf pada otak. - Foto ihsan keluarga

Menanti senyuman Arjuna

BATU PAHAT: Seorang bayi berusia 82 hari, dari Sungai Suloh, Senggarang, dekat sini, bertarung nyawa berikutan masalah gangguan saraf di otak.

Sejak dilahirkan, bayi comel diberi nama, Muhammad Arjuna Hafizi itu hanya mampu terbaring kaku di katil hospital serta tidak berpeluang bertemu empat abang dan kakaknya, datuk dan neneknya.

Bapanya, Mohd Hafizi Jumhari, 30, yang juga seorang peniaga roti John berkata, anak kelimanya itu dilahirkan isterinya, Noorismaliza Ahmad, 27, di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini, menerusi pembedahan caesarean.

Katanya, kandungan disahkan sihat sepanjang kehamilan, kecuali isterinya mengalami paras glukosa tinggi dan disaran mengambil suntikan insulin.

Beliau berkata, sejak dilahirkan di HSNI, doktor menyatakan bayinya mengalami masalah pernafasan laju dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU) HSNI.

Jelasnya, Muhammad Arjuna dikatakan tidak mampu bernafas sendiri kerana paru-parunya lemah.

"Apabila mencecah usia lima hari, keadaannya semakin membimbangkan termasuk mengalami sawan dan ditahan di NICU sehingga usianya 79 hari.

"HSNI juga melakukan pelbagai pemeriksaan, termasuk mengambil air tulang belakang, ujian imbasan Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan ujian gelombang otak (EEG) bagi mengetahui masalah sebenar bayi saya.

"Namun, masalah kesihatan bayi saya tidak dapat dikenal pasti menyebabkan HSNI merujuk Muhammad Arjuna ke pakar saraf di Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak kelmarin," katanya ketika dihubungi.

Hari ini, masuk 82 hari bayi itu dirawat di hospital dan selama 70 hari terpaksa bergantung pada bantuan oksigen serta diberi susu melalui tiub.

Mohd Hafizi berkata, pakar saraf di HSI menyatakan masalah bayinya mungkin akibat kecederaan pada saraf otak, namun punca kecederaan masih belum diketahui.

"Jika bayi saya berjaya diselamatkan, pakar mengatakan mungkin dia akan mengalami masalah tumbesaran yang tidak normal," katanya.

Mohd Hafizi berkata, beliau sekeluarga reda dan menganggap ia adalah ujian Allah, namun mengakui isterinya mengalami tekanan dengan keadaan bayi mereka.

Berita Harian X