Khamis, 20 Julai 2017 | 2:46pm
JOHARI semasa mempengerusikan mesyuarat Focus Group Budget 2018 : Boosting Private Investment di Kompleks Kementerian Kewangan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Bajet 2018 fokus insentif cukai bersasar

PUTRAJAYA: Pemberian insentif cukai yang lebih bersasar menjadi antara intipati Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada 27 Oktober ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata pemberian insentif akan lebih tertumpu kepada industri yang mahu dipromosi kerajaan, sebagai contoh membabitkan Revolusi Perindustrian Keempat.

"Kita mesti mensasarkan apa-apa insentif yang mahu diberikan kerajaan. Kita tidak boleh beri kepada semua orang, ia mesti bergantung kepada kehendak masa depan.

"Sebagai contoh, jika kita mahu mempromosi bidang robotik, kita fokus kepada insentif cukai yang menggalakkan pelaburan dalam bidang itu dan automasi, tidak ada lagi kepada semua (bidang)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Fokus Bajet 2018: Meningkatkan Pelaburan Swasta, di sini, hari ini.

Ini adalah mesyuarat kumpulan fokus pertama bagi mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan bagi persediaan Bajet 2018.

Berhubung pendapat sesetengah pihak bahawa pelabur tempatan tidak perlu terlalu teruja dengan pasaran besar China, Johari berkata, Malaysia tidak boleh lari daripada berurus niaga dengan dua kuasa besar ekonomi dunia iaitu China dan Amerika Syarikat, masing-masing dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS$11 trilion dan AS$18 trilion.

"Malaysia mempunyai lokasi yang strategik untuk mendapat manfaat daripada pembangunan ekonomi China. Itulah sebabnya jumlah dagangan kita dengan negara itu mencapai hampir 16 peratus," katanya.

Berita Harian X