Khamis, 20 Julai 2017 | 7:55pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto Khairull Azry Bidin
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto Khairull Azry Bidin

Akta Bantuan Guaman dipinda

KUALA LUMPUR: Akta Bantuan Guaman akan dipinda bagi membolehkan kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual mendapat akses kepada khidmat "pendamping guaman", selain meminda syarat kelayakan bantuan guaman percuma.

Pindaan akta itu sejajar dengan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang diluluskan Parlimen April lalu, selain Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Akta berkenaan akan dibentangkan di Parlimen pada 24 Julai ini, untuk pindaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pindaan akta bantuan guaman itu akan melihat beberapa hala tuju baharu, terutama definisi, kategori bantuan guaman, selain memperkasakan jabatan bantuan guaman yang meliputi kes sivil dan jenayah.

Katanya, kelayakan bantuan guaman percuma yang sebelum ini merangkumi individu berpendapatan kurang RM25,000 setahun (kategori pertama) dan kurang RM30,000 setahun (kategori kedua) akan diselaraskan mengikuti definisi kelayakan program eKasih (pangkalan data kemiskinan nasional) dan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia).

"Terma baharu legal companion (pendamping guaman) diperkenalkan iaitu pegawai undang-undang di jabatan bantuan guaman yang beri khidmat nasihat guaman kepada mangsa dera seksual mengikut akta keganasan seksual kanak-kanak yang diluluskan tahun ini.

"Kita harap legal companion ini secara langsung bantu mangsa untuk dapat khidmat nasihat peguam kerajaan, terutama mereka yang jadi mangsa. Bukan sahaja bantuan guaman dalam mahkamah tetapi juga pengenalan proses undang-undang," katanya selepas majlis makan tengah hari bersama pengarang media cetak dan elektronik di sini, hari ini.

Perdana Menteri sebelum ini melancarkan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak bagi membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membanteras penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak serta melindungi hak mereka secara holistik.

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sebanyak 5,779 kes penderaan seksual kanak-kanak direkodkan dari 2010 hingga 2015, dengan purata sebanyak 963 kes setahun.

Azalina berkata pindaan kepada akta bantuan guaman itu akan membolehkan kanak-kanak yang menjadi mangsa dera atau ibu bapa kepada mangsa mendapatkan khidmat nasihat bantuan guaman daripada pendamping guaman yang dilantik.

"Sekurang-kurangnya (melalui kewujudan pendamping guaman) akan mengurangkan beban kanak-kanak dan keluarga," katanya merujuk kepada mangsa atau keluarga yang tidak mampu mendapat khidmat guaman kerana kekangan kewangan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X