Jumaat, 21 Julai 2017 | 1:16pm

Khidmat rel: Satu tiket untuk semua

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim pada Majlis Ramah Mesra Kementerian Pengangkutan, Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Sistem integrasi tiket menggunakan satu tiket bagi semua perkhidmatan rel di negara ini, akan mula beroperasi bulan depan dengan permulaan di 20 stesen komuter sekitar Lembah Klang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pelaksanaan sistem berkenaan akan dilakukan secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan.

Katanya, kerajaan kini sedang bekerja keras menambah baik sistem pengangkutan awam supaya ia dapat memberi keselesaan dan perkhidmatan lebih cekap kepada pengguna.

"Saya mengarahkan pengendali Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) supaya bekerjasama dengan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) bagi menzahirkan kemudahan berkenaan.

"Buat masa sekarang, ia akan dimulakan di beberapa stesen terpilih yang kritikal sekitar Lembah Klang dengan jumlah berkenaan terus ditambah pada tahun depan," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Kementerian Pengangkutan, di sini hari ini.

Tiong Lai berkata, sistem integrasi tiket berkenaan akan membabitkan semua perkhidmatan rel termasuk Komuter,

Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Monorel.

Selain itu, katanya, sistem berkenaan turut membabitkan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura dan projek Laluan

Kereta Api Pantai Timur (ECRL), yang menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang.

Katanya, dalam pada itu kerajaan juga belum memutuskan sistem pengangkutan awam yang sesuai untuk digunakan di Putrajaya, sama ada kemudahan tram atau monorel.

"Kita sudah ada MRT dan beberapa kemudahan perkhidmatan rel yang melalui Putrajaya, namun ia hanya setakat di

hentian (Putrajaya Sentral) sahaja.

"Namun, perkhidmatan rel bagi kegunaan di dalam Putrajaya untuk melalui bangunan kerajaan masih belum

dimuktamadkan.

"Kami akui Putrajaya memerlukan sistem pengangkutan awam moden kerana jika dilihat kini kesesakan lalu lintas di

Putrajaya semakin meningkat dan kerajaan tiada pilihan melainkan memperkasakan sistem perkhidmatan awam di

Putrajaya kerana ia adalah nadi pentadbiran negara," katanya.

Berita Harian X