Jumaat, 21 Julai 2017 | 2:16pm

Kesesakan tren waktu puncak perkara biasa di KLIA

SEPANG: Kesesakan yang berlaku di stesen tren penumpang dari terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke bangunan terminal antarabangsa KLIA adalah perkara biasa ketika waktu puncak.

Sumber Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjelaskan, KLIA mempunyai dua tren bagi membawa penumpang, namun untuk tempoh dua jam setiap hari, hanya satu tren akan beroperasi.

"Ini untuk membolehkan tren yang satu lagi menjalani kerja penyelenggaraan harian mengikut jadual yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, bagi mengatasi kesesakan penumpang, pihak MAHB turut menyediakan perkhidmatan bas 24 jam untuk membawa penumpang dari terminal utama KLIA ke bangunan terminal antarabangsa KLIA.

"Di antara jam 10 pagi dan 11 pagi, tren A menjalani penyelengaraan harian, manakala tren B akan beroperasi.

"Jam 11 pagi hingga 12 tengah hari pula, tren B menjalani penyelenggaraan harian dan tren A kembali beroperasi," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sumber MAHB turut mengesahkan, tiada kerosakan tren berlaku dan perkhidmatan berjalan seperti biasa tanpa tergendala melainkan sedikit kesesakan untuk tempoh dua jam setiap hari.

Berita Harian X