Jumaat, 21 Julai 2017 | 7:54pm
DATUK Badlisham Ghazali (dua, kiri), menyampaikan kek kepada agensi agensi yang terdapat di KLIA sempena Majlis Ulangtahun ke 19 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang. Turut kelihatan, Pengurus besar Kanan, Malaysia Airports (Sepang), Zainol Mohd Isa (kiri). - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kesesakan tren KLIA hanya ketika waktu puncak

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bercadang untuk menambah perkhidmatan aerotren di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengelak kesesakan yang sering berlaku sejak kebelakangan ini.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali, berkata pihaknya sedang mengkaji dengan teliti mengenai kesesakan aerotren yang menghubungkan terminal utama dan bangunan satelit itu.

"Kadang-kala penumpang menganggap tren yang tidak berfungsi dan hanya berada di stesen kerana rosak, namun sebenarnya tren berkenaan sedang dalam penyelenggaraan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun KLIA ke-19 di sini, hari ini.

Sementara itu, kesesakan yang berlaku di stesen aerotren membawa penumpang dari terminal utama KLIA ke bangunan terminal antarabangsa KLIA adalah perkara biasa ketika waktu puncak.

Pengurus Perhubungan Awam MAHB, Wan Hasnezareena Wan Omar, menjelaskan KLIA mempunyai dua tren bagi membawa penumpang, namun untuk tempoh dua jam setiap hari, hanya satu tren sahaja akan beroperasi.

"Ini untuk membolehkan tren yang satu lagi menjalani kerja penyelenggaraan harian mengikut jadual yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, bagi mengatasi kesesakan penumpang, pihak MAHB turut menyediakan perkhidmatan bas 24 jam bagi membawa penumpang dari terminal utama KLIA ke bangunan terminal antarabangsa KLIA.

"Antara jam 10 pagi hingga 11 pagi, tren A menjalani penyelenggaraan harian manakala tren B akan beroperasi dan antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari pula, tren B menjalani penyelenggaraan harian manakala tren A kembali beroperasi," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai sekeping gambar menunjukkan suasana sesak di stesen tren antara terminal di KLIA pagi tadi.

Wan Hasnezareena turut mengesahkan tiada kerosakan tren berlaku dan perkhidmatan berjalan seperti biasa tanpa tergendala, melainkan sedikit kesesakan untuk tempoh dua jam setiap hari ketika tren sedang diselenggara.

Beliau juga menasihatkan penumpang untuk menggunakan alternatif iaitu bas yang disediakan bagi mengelak berlakunya kesesakan.

"Sebanyak 12 bas yang beroperasi 24 jam sehari disediakan, harap penumpang dapat memanfaatkan perkhidmatan ini," katanya.

Berita Harian X