Sabtu, 22 Julai 2017 | 8:12pm

Tiada pelajar Malaysia terjejas darurat di Christchurch

KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia di New Zealand tidak terjejas dengan cuaca buruk dan banjir yang melanda sebahagian wilayah Christchurch sehingga memaksa kerajaan negara itu mengisytiharkan darurat, hari ini.

Presiden Kelab Umno Christchurch (KUC), Hiffni Ariff Normas Yakin, ketika dihubungi BH, menjelaskan pengisytiharan darurat dan pemindahan mangsa banjir hanya membabitkan kawasan tertentu berhampiran Sungai Heathcote yang terletak di pinggir kota Christchurch.

"Saya tidak rasa ada penuntut Malaysia yang menetap di lokasi terbabit kerana ia terletak jauh dari universiti kami (Universiti Canterbury).

"Kebanyakan penuntut tinggal di sekitar Upper Riccarton atau Avonhead dengan jarak pemanduan ke kawasan terjejas kira-kira 15 minit," kata Hiffni Ariff, 22, ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Beliau yang juga pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (Perakaunan) di Universiti Canterbury, memberitahu cuaca ketika ini kerap hujan dan angin bertiup agak kencang sejak Jumaat lalu.

"Mungkin di negara ini tidak mempunyai sistem perparitan yang sesuai untuk menampung hujan yang terlalu lebat sehingga menyebabkan banjir berlaku.

"Buat masa ini, kami tidak mendapat apa-apa lagi arahan atau notis daripada pihak kedutaan Malaysia di sini kerana mereka tahu penuntut Malaysia tinggal jauh daripada kawasan terjejas.

"Kita yakin pihak kedutaan juga sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan di Christchurch dan mengikuti perkembangan berhubung perkara itu dari masa ke semasa," katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi penuntut Malaysia di Universiti Canterbury, Ku Izzat Iqhbal Ku Ismail, 21, ketika dihubungi memberitahu walaupun cuaca kerap hujan lebat, tiada masalah banjir berlaku di kawasan universiti serta kawasan berhampiran.

"Keadaan cuaca di sini memang kerap hujan, namun biasanya hujan renyai, namun sejak beberapa hari lepas, hujan agak lebat.

"Ada beberapa laluan yang terpaksa ditutup apabila cuaca buruk kerana ada antaranya turut bersalji," kata Ku Izzat Iqhbal yang juga pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan berasal dari Arau, Perlis.

Seorang lagi penuntut di universiti sama, Muhammad Syafiudin Mohd Rohani, 21, walaupun lokasi kediaman dan universiti terletak jauh dari kawasan terjejas, penuntut di sini sentiasa bersiap sedia dan berjaga-jaga.

"Pihak KUC sentiasa berhubung rapat dengan penuntut di sini dan kita yakin mereka akan memberitahu perkembangan terkini sekiranya situasi bertambah buruk," katanya.

Beliau yang juga pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda perakaunan memberitahu kelas berjalan seperti biasa dan semester baharu juga sudah bermula.

Darurat diisytihar di Christchurch susulan ribut kuat yang menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan, lebuh raya tersekat dan tentera dipanggil untuk membantu menyediakan perkhidmatan kecemasan.

Banjir berlaku selepas Sungai Heathcote melimpah dari tebing dan membanjiri selatan bandar raya berkenaan, pagi ini.

Selain Christchurch, darurat turut diisytiharkan di Dunedin, Timaru dan Otago.

Berita Harian X