Ahad, 23 Julai 2017 | 7:01pm
ANTARA pengunjung ke Program Temuduga Terbuka SL1M peringkat negeri Sabah. - Foto Malai Rosmah Tuah
ANTARA pengunjung ke Program Temuduga Terbuka SL1M peringkat negeri Sabah. - Foto Malai Rosmah Tuah

20,000 kunjungi program SL1M Sabah

KOTA KINABALU: Kira-kira 20,000 pengunjung ke Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) peringkat negeri Sabah yang berlangsung selama dua hari sehingga hari ini.

Bertempat di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), program berkenaan berlangsung sejak Sabtu.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, berkata pihaknya mensasarkan 10,000 pengunjung namun jumlah keseluruhan yang hadir di luar jangkaan.

"Kita menerima kira-kira 20,000 pengunjung dan ini seiring dengan tawaran peluang pekerjaan sekitar 15,000 yang ditawarkan oleh 43 syarikat dari seluruh negara.

"Kita berasa gembira kerana program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung khususnya rakyat Sabah," katanya ketika ketika ditemui pada program itu, di sini hari ini.

Sabah adalah lokasi kelima program SL1M pada tahun ini dan bakal berlangsung di dua lagi lokasi iaitu Melaka serta Perak pada Ogos dan September depan.

Sepanjang program itu, selain menghadiri temu duga terbuka, pengunjung juga boleh melihat pameran kerja, ceramah kerjaya dan persembahan daripada barisan selebriti termasuklah Faizal Tahir, Firman dan Kumpulan Zero.

Dalam pada itu, Norashikin berkata, setakat ini kira-kira 120,000 graduan mendapatkan pekerjaan menerusi SL1M dengan 1,407 daripadanya adalah anak Sabah.

Sementara itu, calon temu duga SL1M, Augustina Chang Mei Xin, 26, dari Keningau, berkata dia bersyukur kerana berpeluang mendapatkan terus surat tawaran bagi mengikuti latihan di bawah syarikat PETRONAS.

"Saya menaiki bas dan mengambil masa dua jam setengah perjalanan ke Kota Kinabalu. Sebelum ini saya hanya membantu ibu bapa menguruskan perniagaan kedai runcit kami di kampung.

"Apabila mengetahui mengenai temu duga ini, saya terus ke sini untuk mencuba nasib tetapi tidak menyangka percubaan dan pengorbanan saya membuahkan hasil," katanya yang memiliki kelulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan dari UMS.

253 dibaca
Berita Harian X