Isnin, 24 Julai 2017 | 10:23am
ISMAIL Sabri menziarahi rumah Ibrahim di FELDA Ketengah Jaya, kelmarin. - Foto Rosli Ilham
ISMAIL Sabri melihat pelan tapak pembinaan 43 unit rumah teres setingkat yang akan dibina di Bandar Ketengah Jaya. - Foto Rosli Ilham

Peneroka diserang angin ahmar terima bantuan katil RM3,000

DUNGUN: "Dengan adanya katil baharu ini, ia memberi kemudahan dan keselesaan kepada saya," kata Ibrahim Abdul Mutalib, 63, yang diserang angin ahmar, selepas menerima sebuah katil berharga RM3,000 sumbangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Ibrahim berkata, dia sangat terharu menerima kunjungan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ke rumahnya, kelmarin, bagi menyerahkan katil berkenaan untuk keselesaannya yang tidak mampu bergerak.

Dia yang juga seorang peneroka diserang penyakit itu tiga tahun lalu yang menyebabkan dia lumpuh dan terpaksa diusung isterinya, Hasnah Ismail, 51, untuk bergerak.

"Sebelum ini, saya hanya berbaring sepanjang masa dan apabila badan terasa lenguh saya meminta isteri untuk menolak badan saya.

"Dengan katil yang diterima ini ia akan dapat memudahkan saya bergerak dan tidak lagi menyusahkan keluarga. Terima kasih tidak terhingga atas keprihatinan KETENGAH dan Datuk Seri Ismail," katanya.

Ibrahim berkata, dia tidak pernah terfikir boleh bertemu seorang pemimpin negara dan tidak menyangka peluang itu tiba ketika dia terlantar sakit.

Suntik semangat terus hidup

"Siapa sangka saya boleh bertemu menteri. Tidak pernah saya terfikir menteri akan melawat saya. Terima kasih banyak-banyak. Sedikit sebanyak saya rasa bersemangat dan tidak putus asa untuk meneruskan hidup," katanya.

Ibrahim menerima bantuan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM), namun katanya, ia tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan rawatannya.

"Saya hanya boleh minum susu yang berharga RM80 satu tin dan saya memerlukan 28 tin sebulan yang jika dihitung jumlahnya adalah kira-kira RM2,000 sebulan.

"Syukur pada Allah apabila baru-baru ini permohonan saya untuk mendapatkan bekalan susu berkenaan diluluskan agensi berkaitan dan ia meringankan beban saya," katanya.

Ibrahim turut berterima kasih kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta KETENGAH yang mengambil berat masalah dihadapi penduduk di kawasan luar bandar dan selain beliau, KKLW turut membantu dua lagi pesakit angin ahmar di kampungnya yang menerima bantuan sama.

517 terima geran tanah

Sementara itu, Ismail Sabri yang sebelum itu menghadiri majlis mesra rakyat dan sambutan Aidilfitri Wilayah KETENGAH di Ketengah Jaya, di sini, berkata, kementeriannya menyerahkan geran tanah kepada 517 penduduk di kawasan berkenaan.

"Mereka sangat mengimpikan untuk mendapat geran tanah dan kerajaan sedaya upaya membantu memproses permohonan mereka dan hari ini (kelmarin) kita sangat gembira kerana dapat menyerahkan kepada mereka," katanya.

Pada majlis sama, Timbalan Pengerusi KETENGAH, Datuk Din Adam, berkata menyedari ramai yang menghidap sakit kronik dan penyakit angin ahmar di kawasan itu, KETENGAH turut menyediakan pusat rehabilitasi yang terletak di bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), di sini.

"Sebelum ini, penduduk Wilayah KETENGAH iaitu AMBS, Bandar Ketengah Jaya, Bukit Besi, Seri Bandi dan Ceneh Baharu perlu ke Dungun yang terletak lebih 30 kilometer untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan bagi penyakit kronik.

"Kewujudan pusat rehabilitasi itu yang beroperasi setiap Ahad hingga Khamis, mengurangkan beban penduduk wilayah ini dari segi perbelanjaan dan masa untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dengan purata 35 pesakit sebulan," katanya.

Pada majlis itu, Din berkata, KETENGAH turut menyerahkan van berharga RM158,600 selain tiga katil khas dengan setiap satu berharga RM2,830.

"Buat permulaan, semua katil ini akan ditempatkan di rumah tiga pesakit kronik di sekitar Bandar Ketengah Jaya. Kita harap pelbagai usaha yang kita lakukan ini dapat mengurangkan bebanan golongan kurang berkemampuan ini dan memberi sedikit keceriaan kepada mereka," katanya.

Maju projek pembangunan

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, KETENGAH juga bakal memajukan projek pembangunan bercampur membabitkan 43 unit rumah teres setingkat dan dua lot rumah kedai di Bandar Ketengah Jaya, di sini, menjelang Oktober ini.

Katanya, projek perumahan itu dilaksanakan di tanah berkeluasan 5.7 hektar berhampiran persimpangan masuk tanah rancangan berkenaan dan dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan dengan harga di bawah RM100,000.

"Pembinaan rumah mampu milik ini bertujuan memenuhi permintaan tinggi golongan belia luar bandar yang mahu memiliki rumah sendiri," katanya yang turut menyerahkan kunci sebuah bangunan rumah kedai dua tingkat bernilai RM2.36 juta yang dibangunkan KETENGAH.

Berita Harian X