Isnin, 24 Julai 2017 | 10:33am

Rabies: Mangsa kelima meninggal dunia

KUCHING: Mangsa kelima wabak rabies atau jangkitan anjing gila meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini, jam 10.43 malam tadi.

Hospital Umum Sarawak (HUS) Kuching. - Foto NSTP/Mohd Radzi Bujang

Mangsa, Tinding Lambang, 52, yang berasal dari Kampung Remun, Serian dipercayai digigit anjing awal Mei lalu, namun mula menunjukkan gejala jangkitan pada 11 Julai iaitu lemah anggota kaki, kebas, sakit belakang serta kebingungan sebelum dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), HUS.

Pada 18 Julai, ujian makmal dilakukan kumpulan doktor pakar mengesahkan mangsa disahkan dijangkiti rabies.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan mengesahkan kematian mangsa dan memaklumkan tiada kes jangkitan baharu membabitkan manusia dilaporkan.

Sementara itu, hingga jam 7 pagi tadi, sebanyak 20 kawasan dalam tiga bahagian iaitu Kuching, Serian dan Sri Aman diisytiharkan sebagai lokasi penularan jangkitan, dengan langkah-langkah pencegahan dilaksanakan agensi berkaitan.

Berita Harian X