Isnin, 24 Julai 2017 | 11:46am
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.- Foto Syamsi Suhaimi

TPM nafi 1.5j rakyat Bangladesh kerja di sini

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan 1.5 juta rakyat Bangladesh dibawa masuk ke Malaysia untuk bekerja.

Timbalan Perdana Menteri, berkata sebenarnya jumlah itu merujuk kepada rakyat Bangladesh yang berdaftar dengan kerajaan negara itu untuk bekerja di luar negara termasuk Malaysia.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata jumlah sebenar yang masuk ke negara ini bergantung kepada keperluan majikan.

Sehubungan itu, katanya, tiada satu syarikat dilantik untuk membawa masuk mana-mana pekerja Bangladesh ke Malaysia.

"Sistem kemasukan pekerja asing ke negara ini dibuat menerusi dalam talian dengan majikan memohon untuk mendapatkan terus pekerja asing tanpa khidmat ejen atau mana-mana syarikat.

"Pihak berkuasa memantau perkara ini dengan melakukan semakan di pintu masuk melalui biometrik, sistem pangkalan data dan sekuriti nasional.

"Saya harap penjelasan ini dapat memberi pencerahan kepada kepada perkara negatif berhubung situasi yang berlaku, " katanya menjawab soalan lisan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang bertanya mengenai status tindakan susulan kegagalan Program E-Kad Pekerja Asing dan memberikan maklumat terperinci syarikat mana yang akan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini serta maklumat pengarah syarikat, pemegang saham dan individu terbabit dalam kemasukan pekerja Bangladesh berkenaan.

Berita Harian X