Selasa, 25 Julai 2017 | 1:13pm

Ucaptama Perdana Menteri pada perasmian Invest Malaysia 2017

Ucaptama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada perasmian Invest Malaysia Kuala Lumpur 2017 (IMKL 2017)

Tujuh tahun lalu, pada 2010, saya memperkenalkan Model Ekonomi Baharu - di sini, di Invest Malaysia. Model ini direka bentuk bagi mentransformasi Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, dan negara kita menjadi sebuah masyarakat yang lebih terangkum, saksama dan mapan, dengan tanggapan tiada siapa ditinggalkan di belakang, peluang disediakan untuk semua, dan asas yang betul diletakkan bagi menjamin masa depan yang stabil dan berjaya.

Kami mempunyai rancangan untuk memperbaharui, transformasi ekonomi malah kesanggupan untuk melaksanakan pilihan yang sukar namun bertanggungjawab. Adalah jelas hari ini, bahawa, dibantu oleh kerja keras jutaan rakyat Malaysia, rancangan itu sudah berfungsi, sudah disampaikan, dan akan terus berfungsi.

Biar fakta membuktikannya.

Antara 2009 dan 2016, Pendapatan Negara Kasar (PNK) meningkat hampir 50 peratus dan PNK per kapita menggunakan kaedah Atlas meningkat kepada AS$9,850. Berdasarkan julat semasa pendapatan tinggi Bank Dunia AS$12,235, kami sudah mengecilkan jurang ke arah sasaran pendapatan tinggi daripada 33 peratus kepada 19 peratus, dengan 2.26 juta pekerjaan diwujudkan, yang merangkumi 69 peratus daripada 3.3 juta sasaran yang mahu kita capai menjelang 2020. Adalah jelas, kami melakukan kemajuan yang betul ke arah sasaran berkenaan.

Inflasi dan pengangguran kekal rendah

Kami menarik paras pelaburan langsung asing (FDI) yang tidak pernah dicatatkan sebelum ini, yang menunjukkan keyakinan dunia terhadap Malaysia. Namun tidak mengejutkan. Pertumbuhan kita disegani oleh ekonomi maju, malah semasa tempoh ketidaktentuan ekonomi global. Tahun ini, Bank Dunia meningkatkan anggaran mereka. Kita dijangka merekodkan kenaikan KDNK 4.9 peratus, boleh dikatakan lebih tinggi berbanding unjuran sebelumnya 4.3 peratus.

Pihak lain juga meningkatkan unjuran mereka - Morgan Stanley kini mengatakan 5 peratus, manakala unjuran Nomura adalah ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 5.3 peratus tahun ini. Hanya semalam, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak semula unjuran mereka daripada 4.5 peratus kepada 4.8 peratus. Malah, pertumbuhan juga dijangka lebih tinggi tahun depan. Justeru, kita berada dalam laluan yang betul.

Beberapa set perangkaan lain juga menyokong keyakinan terhadap Malaysia. Dalam suku pertama 2017, perdagangan kita, contohnya, merekodkan kenaikan 24.3 peratus - meningkat kepada RM430.5 bilion berbanding dengan tempoh sama tahun lalu. Pada Mac, eksport mencecah paras RM80 bilion buat kali pertama dalam sejarah kita. Pada RM82.63 bilion, ia angka bulanan tertinggi bagi eksport Malaysia yang pernah direkodkan.

Pasaran modal meningkat sebanyak sembilan peratus kepada paras RM3.1 trilion pada enam bulan pertama tahun ini, dan kini berada di tempat kelima di Asia secara relatif kepada KDNK. Ia terus menarik minat meluas daripada kedua-dua pelabur domestik dan asing. Malah, dalam pasaran ekuiti terdapat aliran masuk bersih RM11 bilion pada separuh pertama 2017, berbanding dengan aliran keluar bersih RM3 bilion sepanjang 2016.

Pasaran bon Malaysia berkembang kepada RM1.2 trilion pada 2016, manakala pasaran modal Islam kita merekodkan pertumbuhan tahunan mengagumkan 10 peratus sejak enam tahun lalu, mencecah RM1.8 trilion pada Jun 2017.

Malaysia juga adalah hos kepada sejumlah besar syarikat senaraian di ASEAN. Pada AS$29 bilion, Bursa Malaysia juga merekodkan jumlah tertinggi dana dijana sejak lima tahun lalu dalam mana-mana 10 negara anggota. Malah mata wang kita, ringgit, dianggap oleh Bloomberg baru-baru ini sebagai, dan saya petik, "mata wang utama Asia paling kukuh suku ini, meningkat dua kali ganda berbanding yang terbaik berikutnya, yuan China."

Semua ini boleh terarah kepada hanya satu rumusan - ekonomi kita terus makmur, dan kita adalah lebih teguh daripada sebelum ini hasil daripada pelbagai pembaharuan serta program dilaksanakan kerajaan.

Pasaran, komuniti perniagaan dan syarikat menyukai kekuatan dan kestabilan. Mereka mahukan jaminan disediakan oleh sebuah kerajaan yang memahami bahawa kemakmuran rakyatnya diterjemahkan dengan menjadi mesra perniagaan, dan kedaulatan tidak dikompromi walau seinci oleh FDI yang tertinggi diperoleh oleh kerajaan ini.

Ia akan membantu membina Malaysia baharu alaf ke-21, dan membawa banyak manfaat, daripada pemindahan pengetahuan dan kemahiran hinggalah kepada peningkatan standard kehidupan rakyat. Komuniti perniagaan mahukan jaminan dengan mengetahui bahawa kerajaan komited kepada pembaharuan tertentu, dan komited untuk memupuk budaya keusahawanan dan ke arah ketelusan, tanggungjawab, serta kawal selia yang baik.

Berikutan itu, saya mengumumkan bahawa kerajaan, secara prinsipnya, bersetuju dengan penubuhan sebuah Unit Tadbir Urus dan Integriti di semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan Entiti Perniagaan milik negeri dan kementerian, di bawah pengawasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), secara tepatnya untuk mengukuhkan keyakinan yang sepatutnya dan perlu ada di Malaysia.

Komuniti perniagaan antarabangsa mengetahui kerajaan ini memiliki jaminan sedemikian. Malah, mereka memberikan undi percaya. HSBC melabur lebih RM1 bilion untuk membina ibu pejabat serantaunya di Tun Razak Exchange, mengiktiraf peningkatan status Malaysia sebagai sebuah pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa.

Broadcom Limited, salah sebuah syarikat semikonduktor terbesar dunia dengan permodalan pasaran hampir setengah trilion dolar akan memindahkan Hab Pengedaran Globalnya dari Singapura ke Malaysia pada 2017, di mana ia akan menguruskan inventori global kumpulan bernilai RM64 bilion setahun. Huawei, sebuah penyedia penyelesaian ICT utama global yang memberikan perkhidmatan kepada lebih satu pertiga penduduk dunia, menjadikan Malaysia ibu pejabat operasi global, pusat hos data dan pusat latihan global, dengan kos projek keseluruhan RM2.2 bilion serta mengambil lebih daripada 2,370 pekerja.

Saudi Aramco melabur AS$7 bilion - pelaburan hiliran terbesarnya di luar Arab Saudi, untuk membeli 50 peratus kepentingan di dalam Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) PETRONAS di Johor. Ia pelaburan tunggal terbesar di Malaysia, dan menunjukkan keyakinan Arab Saudi terhadap rakyat kita, teknologi kita, dan kemampuan kita untuk menjadi rakan yang kukuh untuk perniagaan terpenting mereka.

Syarikat lain sudah pun ada di sini mengembangkan operasi mereka. Finisar Corporation, peneraju teknologi global dalam komunikasi optik, akan melabur RM610 juta lagi dalam operasinya di Perak, menjadikan jumlah pelaburannya di Malaysia kepada RM1 bilion. Coca-Cola sudah pun melabur RM1 bilion di Malaysia sejak 2010. Ia pada Mac lalu mengumumkan tambahan pelaburan RM500 juta untuk mengembangkan saiz dan kapasiti pengeluaran kilangnya di Bandar Enstek.

Saya boleh bercakap lebih lagi. Matlamatnya di sini adalah keyakinan dan jaminan yang dimiliki perniagaan di Malaysia membawa masuk pekerjaan, meningkatkan gaji dan membantu menambah kemahiran tenaga kerja kita.

Kerajaan inilah yang menawarkan jaminan sedemikian kepada perniagaan kedua-dua di Malaysia dan luar negara. Pembangkang langsung tidak menawarkan apa-apa. Mereka dalam keadaan kucar-kacir. Dua pemimpin utama sebuah parti tidak bersetuju jika pakatan lama pembangkang masih ada di negeri Selangor. "Ya, masih ada", kata seorang daripadanya. "Oh, tidak ada lagi!" kata seorang lagi. Ia seperti pertunjukan (boneka) Punch and Judy!

Malah, struktur kepimpinan terbaharu yang diumumkan pembangkang adalah melucukan, kedengaran seperti program kembali-kepada-kerja untuk pesara politik!. Ia juga kedengaran sinis dan mengelirukan, dengan tiga pemimpin tetapi tidak jelas siapa yang memiliki kuasa eksekutif antara mereka, dan DAP dengan sengaja tidak menonjolkan diri walaupun mengawal pembangkang di belakang tabir dengan majoriti besar kerusi Parlimen mereka.

Bagi calon Perdana Menteri, pembangkang amat terdesak, mereka kini cuba meyakinkan orang ramai percaya orang itu seorang yang berusia melebihi 90-an (nonagenarian), seorang yang bukan Ahli Parlimen, dan partinya hanya memiliki satu kerusi. Namun kebenarannya adalah angka demokrasi tidak berbohong, dan DAP setakat ini kekal parti paling berkuasa di dalam pembangkang. Pemimpin DAP sejak separuh abad lalu kini berselindung di belakang individu yang memenjarakannya, cuba mengelirukan orang Melayu supaya berfikir bahawa bekas pemimpin itu adalah calon sementara Perdana Menteri.

Tiada satu perkataan pembangkang yang boleh dipercayai. Baru-baru ini, seorang pemimpin utama dalam sebuah parti berkata bahawa, jika Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Arab Saudi, mengapa kuota haji tidak dinaikkan? Namun ia berlaku. Dua kali tahun ini, daripada 22,230 kepada 27,900 dan kemudiannya kepada 30,200. Ia satu lagi contoh manfaat dasar yang dibawa kerajaan ini kepada rakyat Malaysia - dalam hal ini, dasar luar kita menjalin persahabatan di luar negara, berbanding menyimpan dendam selama berdekad, seperti yang masih diamalkan oleh bekas pemimpin tertentu.

Namun, anda tidak akan mendengar manfaat sebenar hubungan kita bersama Arab Saudi, China, India atau negara lain daripada pembangkang. Malah, mereka menabur pembohongan mengenainya, sama seperti mereka berbohong mengenai ekonomi dan mencetuskan kebimbangan bencana ekonomi di Malaysia.

Malah, ada kempen bersepadu untuk menghantar maklumat salah seperti itu ke luar negara bagi merosakkan ekonomi Malaysia demi objektif politik mereka yang mementingkan diri. Justeru, jika anda mendapat maklumat buruk seperti itu, atau membacanya di dalam penerbitan yang tidak memeriksa fakta dengan betul, sila berhati-hati.

Ia tidak adil kepada rakyat Malaysia, serta tidak adil kepada komuniti perniagaan, sama ada di dalam dan luar negara. Mereka, dan anda, berhak mendapatkan kebenaran. Jadi, biar saya beritahu apakah yang diperkatakan oleh badan antarabangsa yang dihormati terhadap rekod kerajaan ini.

Penilaian ekonomi terbaharu OECD menyatakan, dan saya petik: "Malaysia adalah salah satu ekonomi Asia Tenggara paling berjaya... terima kasih kepada asas makroekonomi kukuh dan kejayaannya mentransformasi ekonomi menjadi amat pelbagai dan terangkum." Kita berada di tempat kedua ASEAN dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2017 dan ke-23 keseluruhan dalam kalangan 190 ekonomi seluruh dunia.

Kita berada di tempat kedua negara Asia Tenggara di dalam Indeks Modal Insan Forum Ekonomi Dunia 2016, meningkat satu anak tangga daripada tempat ketiga tahun lalu. Kita berada di tempat ketiga daripada 190 ekonomi, seluruh dunia, dalam Melindungi Pelabur Minoriti, oleh Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2017. Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia 2016-2017 meletakkan Malaysia di tempat keempat dalam kalangan 138 ekonomi di atas Kekuatan Perlindungan Pelabur.

Kita berada di tempat ke-11 dari 125 negara di dalam Indeks Daya Tarikan Modal Teroka dan Ekuiti Swasta, oleh IESE Business School di Sepanyol. Agensi penarafan Fitch baru-baru ini mengukuhkan semula penarafan A- kita dengan tinjauan stabil. Malah, sebuah kaji selidik baru-baru ini oleh BAV Consulting dan Wharton School di University of Pennsylvania mengisytiharkan Malaysia menjadi "Negara Terbaik Untuk Dilabur". Ia berkata, dan saya petik, "Malaysia adalah pemimpin yang jelas dalam ranking ini, mencatatkan skor sekurang-kurangnya 30 mata lebih dari negara lain mengikut skala 100 mata."

Terdapat kesepakatan antarabangsa yang jelas bahawa Malaysia sedang dalam landasan tepat, dan perangkaan serta pengiktirafan yang saya laporkan kepada anda hari ini adalah hasil langsung pengemudian ekonomi kerajaan ini di dalam perairan global yang tidak menentu dan bergelora.

IMF melaporkan bahawa daya tahan ekonomi kita adalah disebabkan, dan saya petik, oleh "tindak balas dasar makroekonomi mantap di tengah-tengah risiko serta cabaran besar." Malah, dasar yang kukuh ini adalah sebab mereka mengatakan bahawa: "Malaysia adalah antara ekonomi paling pantas berkembang dalam kalangan rakan segandingan."

Akhir sekali, Bank Dunia menunjukkan bahawa ia juga bersetuju. Dalam laporan terbaharunya, yang diterbitkan bulan lalu, ia berkata bahawa "pengurusan makroekonomi kerajaan secara berterusan proaktif dan berkesan mengemudi cabaran jangka terdekat di dalam persekitaran ekonomi". Ia merumuskan, dan saya petik: "Ekonomi Malaysia sedang berkembang dari kedudukan yang kukuh."

Adakah itu kedengarannya seperti ekonomi Malaysia sedang runtuh, dan kita dalam bahaya menuju muflis, seperti yang diminta oleh pembangkang supaya anda percaya? Saya fikir Bank Dunia, OECD dan IMF tahu apa yang mereka katakan - dan saya yakin, tuan-tuan dan puan-puan, anda juga begitu.

Kita hanya mencapai di kedudukan yang kukuh kerana kerajaan meletakkan pelan ekonomi berpandangan jauh; dan kerana kita tidak takut melaksanakan keputusan yang sukar demi membina daya tahan ekonomi Malaysia. Kita sudah mempelbagaikan sumber pendapatan kerajaan, termasuk mengurangkan kebergantungan terhadap pendapatan minyak dan gas daripada 41 peratus pada 2009 kepada 14 peratus hari ini. Memandangkan berlaku penurunan besar harga minyak, bayangkan bagaimana kita akan terjejas jika kita tidak melakukannya.

Kita juga perlu melebarkan asas cukai, dan dengan itu, sama dengan 160 negara lain, kita memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan, atau GST. Ia tidak popular, namun perkara yang betul untuk dilaksanakan, seperti yang disahkan oleh semua ahli ekonomi terkemuka.

GST membantu keazaman kita untuk mengurangkan secara stabil defisit - kita dalam landasan untuk mengurangkannya kepada tiga peratus tahun ini, daripada 6.7 peratus pada 2009 dan GST amat penting untuk mengekalkan penilaian baik kita oleh agensi penarafan antarabangsa.

Namun, pembangkang berkata mereka akan menghapuskannya. Beritahu saya, daripada mana mereka akan menghasilkan RM41 bilion yang dikutip daripada GST tahun lalu? Daripada silap mata? Jika GST dihapuskan, ia bukan hanya sekadar mengurangkan pendapatan. Defisit akan meningkat daripada 3.1 peratus kepada 5 peratus. Kemampuan kita untuk membiayai pembinaan sekolah, hospital dan kemudahan lain akan terjejas.

Hutang kerajaan akan meningkat di atas paras kita tetapkan iaitu 55 peratus daripada KDNK. Penarafan kredit berdaulat kita akan diturunkan. Kos pembiayaan untuk semua, seperti pinjaman untuk kegunaan peribadi, perniagaan dan perumahan, akan meningkat. Rakyat akan terjejas, dan mereka akan terjejas secara langsung.

Salah seorang penganalisis bebas terkemuka Malaysia, Pengarah Ekonomi di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, mengulas dengan tepat apabila beliau berkata idea memansuhkan GST adalah, dan saya petik, "tindak munasabah" dan "mengarut dari segi ekonomi." "Saya tidak fikir mana-mana orang yang waras pemikirannya akan melakukannya," katanya.

Ia satu lagi contoh apa yang dilakukan pembangkang semasa berdepan keputusan yang sukar: mereka menggunakan jalan mudah atau populis, tidak mengira sama ada ia wajar atau boleh dilaksanakan. Mereka tidak berlaku jujur dengan rakyat. Kerajaan ini, bagaimanapun, akan sentiasa jujur dengan rakyat dan akan sentiasa melakukan perkara yang betul demi rakyat. Kami akan sentiasa meletakkan kepentingan mereka di hadapan, daripada kebajikan ekonomi hinggalah keselamatan.

Malah, jika ia bukan perkara paling popular untuk dilakukan, kami tidak akan teragak-agak, kerana ia adalah tanggungjawab untuk negara. Ini juga salah satu sebab saya tidak popular dengan seseorang yang berusia 90-an. Di bawah kepimpinannya banyak perkara dilakukan dengan cara yang mudah, dan rakyat terpaksa membayar harga yang tinggi supaya segelintir rakannya mendapat manfaat, malah banyak keputusan yang dahsyat dan mendatangkan masalah terpaksa dibuat ke atas simbol kebanggaan negara.

Namun saya katakan kepada anda kini bahawa di bawah kerajaan ini, kami sedang menghapuskan kroni kapitalis. Tiada lagi urus niaga sebelah pihak. Tiada lagi binaan negara untuk menjaga ego seseorang. Tiada lagi menjadikan syarikat negara seperti hak peribadi. Disebabkan itu, rakyat yang menanggungnya, dan kami tidak akan menerima lagi hanya segelintir yang berjaya dan bukan di atas merit mereka sendiri, sambil ramai yang dinafikan peluang, semua demi kepentingan sesetengah pihak.

Sekarang sebahagian daripada anda mungkin berfikir bahawa saya tidak menyebut syarikat negara yang mempunyai isu. Di 1MDB, adalah jelas terdapat kesalahan tadbir urus. Bagaimanapun, daripada berselindung, kami mengarahkan siasatan ke atas syarikat itu pada skala yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara. Berbanding menyalurkan wang untuk melindungi sebarang isu dihadapi 1MDB - model yang pernah digunakan oleh seorang bekas pemimpin, saya mengarahkan rasionalisasi syarikat itu.

Ia menunjukkan kemajuan yang baik. Malah, banyak aset yang pernah dimiliki oleh 1MDB sedang berkembang maju. Anda hanya perlu memandu melalui Tun Razak Exchange untuk melihat pembinaan baharu bagi mengesahkannya. Namun jangan lupakan bahawa walaupun terdapat pelbagai isu di 1MDB, sesetengah ahli politik sengaja memperbesarkannya, dan cuba untuk mensabotaj syarikat itu, dalam cubaan untuk menumbangkan kerajaan antara kitaran pilihan raya.

Pada masa kita tahu isu sebenar bukanlah 1MDB, dan jika 1MDB tidak ada, mereka akan memilih serangan lain untuk cuba mengubah kerajaan secara tidak sah. Jadi, kami perlu berdiri teguh, dan tegas, di tengah-tengah kempen secara bersepadu ini. Kerana kami tidak akan terganggu daripada tanggungjawab, sebagai kerajaan yang dipilih secara demokratik, untuk berkhidmat kepada negara.

Keutamaan kami adalah jelas semasa memperkenalkan konsep "ekonomi modal", yang merujuk kepada perspektif makro dan "ekonomi rakyat", yang tertumpu seluruhnya kepada rakyat, aset paling berharga negara kita. Kita berdepan cabaran mendatang, sudah pasti. Kita perlu meningkatkan produktiviti. Kita perlu meningkatkan tahap pendidikan dan kemahiran. Kita perlu meletakkan inovasi dan kreativiti di tengah-tengah ekonomi masa depan.

Disebabkan itulah kami bekerjasama dengan pemimpin teknologi China, Alibaba untuk menubuhkan Zon Perdagangan Bebas Digital, zon perdagangan khas pertama dunia yang akan mempromosikan pertumbuhan e-dagang, dan menyediakan platform canggih kepada perusahaan besar dan PKS untuk melaksanakan perniagaan serta perkhidmatan digital masing-masing. Inisiatif ini adalah sebahagian pelan induk digital yang menyasar untuk menggandakan pertumbuhan e-dagang daripada 10.8 peratus kepada 20.8 peratus menjelang 2020.

Namun kami hanya boleh mencapai sasaran ini bersama rakyat, dan dengan memperkasakan rakyat. Bagi menjamin martabat semua, kami secara dasarnya sudah menghapuskan kemiskinan, kepada kurang daripada satu peratus. Kami bangga bahawa pendapatan 40 peratus isi rumah terendah meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul 12 peratus sejak 2009, iaitu semasa saya mula menjadi Perdana Menteri.

Namun kami tahu bahawa isu kos kehidupan paling teruk menjejaskan golongan berpendapatan rendah, disebabkan itulah kami mengagihkan RM5.36 bilion dalam bentuk Bantuan Rakyat 1Malaysia, atau BR1M, kepada 7.28 juta isi rumah pada 2016. Inilah sebab mengapa kami menjamin bahawa makanan asas dan barangan keperluan berkadar sifar bagi GST.

Pada masa sama, kami mempunyai banyak agensi yang mempromosikan program perumahan mampu milik, dan mengapa kami membina dan memulihkan hampir 95,000 rumah untuk golongan miskin luar bandar tahun lalu. Projek perumahan mampu milik lain termasuk PPA1M, untuk kakitangan awam; PR1MA, untuk golongan berpendapatan sederhana bandar; dan Program Perumahan Rakyat untuk golongan berpendapatan rendah, atau B40, dengan sewa bulanan serendah RM124.

Infrastruktur, juga, amat mustahak. Ia penting untuk bandar kita, dan mengubah kehidupan komuniti luar bandar. Dari 2010 hingga 2016, kami membina 6,042 kilometer jalan luar bandar baharu, menyediakan akses air bersih kepada 350,000 rumah dan menghubungkan 154,000 rumah dengan perkhidmatan elektrik.

Pada akhir tahun lalu, fasa pertama projek Mass Rapid Transit (MRT) disiapkan, dan baru-baru ini, fasa kedua Aliran Sungai Buloh-Kajang dilancarkan. Kita kini mempunyai aliran beroperasi 51 kilometer dengan 31 stesen. Ini akan mengurangkan 160,000 kereta dari jalan raya, menjadikan Kuala Lumpur lebih boleh didiami. Ia mewujudkan 130,000 pekerjaan baharu, yang mana 70,000 adalah pekerjaan langsung. Yang terbaik, ia siap mendahului jadual dan RM2 bilion di bawah bajet.

Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak dan Sabah akan menjadi pencetus perubahan kepada rakyat di sana, menggalakkan mobiliti lebih besar, mengukuhkan industri dan pelancongan serta mewujudkan ribuan pekerjaan baharu. Dalam masa beberapa tahun lagi, kita akan mempunyai rel kelajuan tinggi pertama menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura, yang akan mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit, berbanding lebih empat jam menggunakan kereta.

Malah, Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) akan membawa manfaat besar, pekerjaan dan sambungan baharu kepada rakyat Pahang, Terengganu dan Kelantan khususnya. Dalam bidang lain, kita sedang melihat manfaat program kerajaan untuk semua rakyat. Kadar kemasukan pra-sekolah nasional meningkat kepada 85.6 peratus pada 2016, contohnya, berbanding 67 peratus pada 2009; dan kita mencapai kadar kemasukan hampir universal bagi kumpulan umur lima tahun dan ke atas.

Wanita juga menyaksikan pencapaian hebat. Kadar pembabitan tenaga kerja wanita meningkat daripada 46 peratus pada 2009 kepada 54.3 peratus tahun lalu. Ia membabitkan tambahan 700,000 wanita di dalam tenaga kerja. Dan saya gembira untuk mengumumkan bahawa Malaysia mencapai sasaran wanita merangkumi 30 peratus pengurusan tertinggi, membabitkan 1,446 wanita, daripada sejumlah 4,960 pengurusan tertinggi tidak termasuk CEO, setakat Disember 2016.

Kami mahu lebih daripada itu, dan menetapkan 2020 sebagai tarikh di mana kami mahu semua Syarikat Senaraian Awam (PLC) mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat lembaga pengarah. Kerana kami tahu apabila wanita berjaya, kita semua berjaya. Malangnya, kita masih mempunyai 17 '100 PLC terbesar' yang tidak mempunyai wanita langsung di peringkat lembaga pengarah. Ini tidak cukup bagus, dan saya menggesa syarikat berkenaan supaya menangani segera kekurangan kepelbagaian ini. Saya mahu mengumumkan bahawa, bermula Januari 2018, kerajaan akan menamakan PLC yang tidak mempunyai wanita dalam lembaga pengarah.

Seperti kebanyakan anda tahu, PKS merangkumi 97 peratus perniagaan di Malaysia, dan salah satu piawai pentadbiran saya adalah sokongan dan galakannya kepada tulang belakang ekonomi kita ini. Justeru, saya gembira untuk melancarkan secara rasmi hari ini Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama, atau Pasaran LEAP, oleh Bursa Malaysia. Ini ialah pasaran kelayakan baharu yang akan menawarkan kaedah alternatif untuk syarikat kecil dan sederhana menjana modal dan mengembangkan perniagaan mereka ke tahap berikutnya.

Ia sejajar dengan Pelan Induk PKS yang menyasar untuk meningkatkan penguasaan KDNK disumbangkan oleh PKS, bilangan kakitangan, dan jumlah eksport mereka. Ini adalah satu daripada pelbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan saya dalam melaksanakan transformasi, dan untuk membuktikan kebolehpercayaan kami sebagai sebuah kerajaan mesra perniagaan ekonomi yang bertenaga.

Kami mahu anda melihat Malaysia sebagai pintu gerbang ke ASEAN dan rantau ini, dan dengan rumusan Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau atau RCEP, kami mahu anda melihat Malaysia sebagai tapak untuk mengakses hampir 50 peratus penduduk dunia, dan lebih 30 peratus KDNK global.

Tahun ini, kita menyambut ulang tahun ke-60 kemerdekaan. Daripada permulaan yang agak sederhana, kita sudah berkembang dan berubah menjadi sebuah ekonomi moden dan masyarakat dengan rekod yang boleh dibanggakan. Namun kita juga meninjau masa depan. Disebabkan itulah kami memperkenalkan inisiatif Transformasi Nasional 2050, atau TN50.

Melalui TN50, kami mahu mendengar suara rakyat. Kami mahu mereka didengari. Dan melalui pelbagai sesi dialog, kami mendengar aspirasi belia kita mengenai apa yang mereka mahukan Malaysia pada 2050.

Sebagai Perdana Menteri Malaysia, saya mahu membentangkan asas yang diperlukan supaya negara kita dianggap sebagai antara negara utama di dunia. Kita mahukan kelebihan daya saing itu, dan mahu menjadi masyarakat berasaskan pengetahuan - tetapi kita perlu sentiasa berusaha ke arah matlamat itu dengan cara yang mapan, terangkum dan adil. Tiada rakyat Malaysia patut ditinggalkan. Semua mesti terbabit dan mendapat manfaat daripada perjalanan hebat ini.

Kami mempelawa anda menjadi sebahagian perjalanan ini, dan saya berharap hari ini kami mampu menjelaskan mengenai peluang hebat yang ditawarkan oleh Malaysia. Kami meminta anda supaya melihat kepada potensi kami; melihat kepada pencapaian hebat disampaikan oleh Program Transformasi Kerajaan dan yang akan terus disampaikan; dan melabur di Malaysia.

Sekali lagi, saya alu-alukan kehadiran anda ke Kuala Lumpur. Saya mahu mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada penganjur Bursa Malaysia dan CIMB serta mengucapkan semoga persidangan ini berjaya. Terima kasih.

269 dibaca
Berita Harian X