Rabu, 26 Julai 2017 | 11:24am

150,204 pelarian, pemohon suaka di Malaysia

KUALA LUMPUR: Seramai 150,204 pelarian dan pemohon suaka dari 59 negara berdaftar dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) direkodkan di negara ini sehingga 31 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, 94,361 adalah pelarian manakala baki 55,843 adalah pemohon suaka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata jumlah terbesar berasal dari 10 negara iaitu 133,725 dari Myanmar, Pakistan (3,548), Sri Lanka (2,328), Yaman (2,095), Somalia (2,062), Syria (1,980), Iraq (1,461), Afghanistan (1,082), Palestin (698) dan Iran (440).

Beliau berkata, buat masa ini kerajaan melaksanakan dasar perintis kebenaran bekerja kepada pemegang kad UNHCR dalam kalangan etnik Rohingya untuk membenarkan mereka bekerja dalam sektor perkilangan dan perladangan dalam tempoh tiga tahun mulai 1 Mac lalu.

Katanya, hasil daripada projek perintis itu akan memberikan gambaran sebenar mengenai isu pekerjaan dalam kalangan etnik Rohingya, Myanmar.

"Kerajaan juga membenarkan anak pelarian dan pemohon suaka mendapat akses pendidikan di sekolah swasta atau pusat pendidikan badan bukan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang ingin mengetahui jumlah permohonan terkini pelarian yang diluluskan ke Malaysia mengikut negara asal dan jantina di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, kerajaan tidak menerima permohonan atau mengeluarkan kad pelarian UNHCR.

Beliau berkata, UNHCR adalah pertubuhan bertanggungjawab menerima permohonan dan mengenal pasti migran asing yang layak diberikan perlindungan antarabangsa berdasarkan konvensyen mengenai status pelarian 1951 atau Protokol 1967, seterusnya mengeluarkan kad UNHCR kepada pelarian.

Berita Harian X