Rabu, 26 Julai 2017 | 11:38am
ORANG awam mengisi borang untuk membuat semakan tuntutan Wang Tak Dituntut di Jabatan Akauntan Negeri, Ipoh. - Foto BERNAMA

Hampir RM5.8 bilion WTD masih tidak dituntut

KUALA LUMPUR: Sehingga 30 Jun lalu, sebanyak RM5.779 bilion wang tak dituntut (WTD) masih berada dalam simpanan Bahagian WTD, Jabatan Akauntan Negara selaku pemegang amanah.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, berkata jumlah itu juga membabitkan lebih 55 juta rekod akaun seperti simpanan, semasa atau perniagaan sejak dari tahun 1977.

Katanya, sebanyak 25 kaunter Bahagian WTD disediakan di seluruh negara iaitu 13 di Semenanjung Malaysia; Sarawak (7) dan di Sabah (4) manakala sebuah kaunter baharu akan dibuka di Putrajaya.

"Individu yang terbabit perlu hadir sendiri ke mana-mana kaunter WTD untuk membuat semakan dan menuntut wang mereka," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah serta strategi kerajaan dalam menyelesaikan permasalahan WTD di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Othman berkata, sebagai pemegang amanah, kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas wang berkenaan dan sentiasa memastikan ia selamat dalam pegangan kerajaan sehinggalah ia dituntut.

"Dalam tempoh itu, wang berkenaan akan diurus mengikut tata cara kewangan yang berkuat kuasa," katanya.

WTD ialah wang yang perlu dibayar di sisi undang-undang kepada pemilik yang sepatutnya dalam tempoh tertentu, seperti ditetapkan Akta Wang Tak Dituntut 1965.

22912 dibaca
Berita Harian X