Rabu, 26 Julai 2017 | 5:55pm

Bank data rekod maklumat pemandu teksi, Uber, Grabcar

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mewujudkan Bank Data Pemandu untuk merekod butiran peribadi pemandu teksi, Uber dan Grabcar.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata bank data itu memudahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti hanya individu yang bersih daripada rekod jenayah dibenarkan menjalankan perkhidmatan itu.

Beliau berkata, ia juga dapat mengenal pasti identiti pemandu yang melakukan jenayah ketika memberi perkhidmatan.

GAMBAR fail, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (kanan). - Foto Halim Salleh

Beliau turut berharap kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dilaksanakan segera untuk mewujudkan sistem perkhidmatan awam darat menerusi aplikasi e-hailing (e-panggilan), yang akan menghubungkan semua perkhidmatan darat di negara ini ke hujung jari pengguna.

"Saya juga mencadangkan supaya terma 'kontrak bebas' yang diguna oleh pengendali perkhidmatan e-hailing dikaji semula.

"Ia bagi menjamin keselamatan pengguna terjamin, yang turut dilindungi oleh pelan insurans jika ditimpa kecelakaan, di samping memberi keadilan undang-undang kepada mangsa jika ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali e-hailing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Berita Harian X