Jumaat, 28 Julai 2017 | 4:49pm
KETUA Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri (kiri). - Foto Ramdzan Masiam

'Fatwa wajar ikat mahkamah sivil'

KUALA LUMPUR: Satu akta perlu dicadangkan di Parlimen untuk memberi kuasa perundangan terhadap fatwa yang diwartakan di peringkat negeri.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata tindakan itu perlu dilaksana supaya fatwa dijadikan rujukan yang mengikat ketetapan mahkamah sivil dalam isu berkaitan umat Islam.

"Mahkamah Rayuan sepatutnya merujuk Seksyen 110 hingga 119 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 mengenai sah taraf anak kerana ia jelas menggariskan siapa yang dikaitkan sebagai bapa bagi agama Islam.

"Peruntukan undang-undang negeri sepatutnya menjadi rujukan utama mahkamah sivil dalam menentukan penghakiman isu bersabit, namun seksyen berkenaan tidak diberi pertimbangan sewajarnya dalam penghakiman Mahkamah Rayuan.

"Mahkamah sebaliknya membataskan isu berkenaan dengan pendaftaran semata-mata walaupun ia mempunyai implikasi terhadap undang-undang Islam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan semalam, membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau bintikan kepada bapanya, yang bertentangan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Sebelum ini, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan anak tidak sah taraf iaitu yang lahir kurang enam bulan dari tarikh perkahwinan, tidak boleh dibin/bintikan kepada nama bapa anak itu atau individu yang mendakwa bapa kepada kanak-kanak berkenaan.

Susulan penghakiman Mahkamah Rayuan itu, Khairuddin menyifatkan usaha memperkasakan Islam menerusi sudut perundangan dan perlembagaan masih berliku.

Sehubungan itu, katanya, kesatuan umat Islam terhadap usaha jihad perundangan sebegitu sangat diperlukan, selain ditunjangi sokongan politik.

Berita Harian X