Jumaat, 28 Julai 2017 | 5:01pm
DATUK Zainul Rijal Abu Bakar. - Foto Saifullizan Tamadi

Pinda Akta 299 - PPMM

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran meminda Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) bagi mengecualikan sebahagian peruntukan akta itu yang bertentangan dengan hukum syarak.

Cadangan itu dibangkitkan susulan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau bintikan kepada bapanya berdasarkan Akta 299.

Ia jelas bertentangan dengan hukum syarak seperti diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata pindaan itu bertujuan menghormati Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Katanya, semua peruntukan mengenai kesahtarafan anak yang bertentangan dengan hukum syarak perlu dipinda supaya tidak terpakai kepada orang Islam.

"Kerajaan boleh mengambil tindakan lain seperti tidak mengehadkan bin kepada Abdullah. Ia boleh juga dibinkan dengan Abdul Rahman, Abdul Rahim ataupun apa-apa nama lain yang sesuai untuk mengelak stigma negatif pada anak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau bintikan kepada bapanya yang bertentangan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Sebelum ini, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan anak tidak sah taraf iaitu yang lahir kurang enam bulan dari tarikh perkahwinan, tidak boleh dibin/bintikan kepada nama bapa anak itu atau individu yang mendakwa bapa kepada kanak-kanak berkenaan.

Mengulas keputusan mahkamah berdasarkan Akta 299, Zainul Rijal berkata, akta itu perlu dibaca secara dengan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang Islam yang sah berkuatkuasa.

"Seksyen 110 hingga 119 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan mengenai kesahtarafan anak. 

"Seksyen 110 khususnya adalah berkaitan dengan siapakah yang dikaitkan sebagai bapa bagi orang Islam.

"Akta Undang-Undang Keluarga Islam seharusnya menjadi panduan kepada undang-undang lain kerana ia adalah perundangan spesifik untuk orang Islam, manakala Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 lebih kepada undang-undang umum," katanya.

Berita Harian X