Jumaat, 28 Julai 2017 | 6:27pm
PEMANDU bas melayan pertanyaan dari penumpang yang ingin mengetaui arah tuju bas ketika tinjauan bas pengantara atau Feeder Bus di Stesen MRT Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PEMANDU bas melayan pertanyaan dari penumpang yang ingin mengetaui arah tuju bas ketika tinjauan bas pengantara atau Feeder Bus di Stesen MRT Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

21,000 penumpang guna bas perantara di Laluan SBK 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) menyasarkan kira-kira 21,000 penumpang menggunakan kemudahan bas perantara secara harian membabitkan laluan  Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK). 

 

Ketua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) SPAD, Radhi Maarof, berkata sebanyak 192 bas beroperasi di laluan berkenaan dengan 112 bas dan 80 bas terbabit bergerak masing-masing di MRT Fasa 1 laluan Sungai Buloh-Semantan dan MRT Fasa 2 (Semantan-Kajang).

 

Katanya, kekerapan bas perantara adalah setiap 10 hingga 15 minit dengan kadar tambang RM1 di 26 stesen bas terpilih.

 

"Bas perantara itu akan melalui kawasan perumahan sekitar 10 kilometer (km) dari setiap stesen dengan jarak keseluruhan laluan bas perantara adalah 256.3 km.

 

"26 stesen bas itu pula termasuk di Semantan dan Taman Suntex. Kawasan berkenaan dipilih atas faktor lokasi iaitu di kawasan luar bandar, selain mempunyai permintaan daripada orang ramai.

 

"SPAD sebagai pengawal selia projek bas berkenaan mungkin akan menambah bilangan bas dan stesen pengangkutan berkenaan jika ada keperluan," katanya ketika ditemui di  MRT Pusat Bandar Damansara, di sini, hari ini.

Berita Harian X