Sabtu, 29 Julai 2017 | 6:31pm
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed meninjau kawasan projek di Legaran Segget, Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Yuran perunding tak masuk akal - Nur Jazlan

JOHOR BAHRU: Yuran perunding bagi projek menyediakan lanskap di Legaran Segget yang didakwa mencecah sehingga RM20 juta disifatkan tidak masuk akal dan satu penghinaan kepada rakyat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata tindakan melaksanakan projek menyediakan landskap di kawasan itu tanpa penyertaan dan pembabitan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) juga menjadi satu persoalan.

Katanya, jika pihak berkenaan mendapatkan perkhidmatan MBJB, mereka hanya perlu membayar kadar maksimum sebanyak enam peratus daripada nilai keseluruhan berkenaan sebagai yuran perunding.

"Kebiasaannya (MBJB) minta enam peratus daripada nilai projek tetapi bagi projek ini hampir 30 peratus daripada kos keseluruhan RM57 juta. Ini satu penghinaan kepada rakyat.

"Projek ini juga dibuat tanpa ada apa-apa 'input' daripada PBT (MBJB) dan hanya menguntungkan pihak perunding yang saya harap mereka (perunding) adalah anak jati Johor, bukan dari Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau kawasan projek di Legaran Segget di sini, hari ini.

Nur Jazlan berkata, sehubungan itu beliau meminta Jabatan Audit Negara untuk melihat semula prosedur pemilihan yang dilakukan pihak terbabit bagi pelaksanaan projek berkenaan.

"Saya juga berharap kerajaan negeri dapat meninjau semula projek yang dijalankan pihak ini supaya selaras dan menepati objektif serta matlamat asal pelaksanaannya," katanya.

6200 dibaca
Berita Harian X