Ahad, 30 Julai 2017 | 10:10pm

Kumpulan pertama jemaah Malaysia tiba di Makkah

MAKKAH: Kumpulan pertama 278 jemaah haji Malaysia musim 1438 Hijrah, yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 5 pagi Ahad waktu Malaysia, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah, pada 8 pagi Ahad waktu tempatan (1 petang Ahad waktu Malaysia).

Semua jemaah berkenaan kemudian menaiki empat buah bas, dan tiba di maktab penginapan 74 dan 75 pada 2 petang Ahad waktu tempatan (7 malam Ahad waktu Malaysia) di Hotel Abraj AlJanadriyah di sini, yang turut menempatkan Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) Makkah.

GAMBAR fail, bakal jemaah haji melambai tangan ketika menaiki bas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas Majlis Mengucap Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci Musim Haji 1438H/2017 di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, pada 24 Julai lalu. - Foto BERNAMA
GAMBAR fail, bakal jemaah haji melambai tangan ketika menaiki bas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas Majlis Mengucap Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci Musim Haji 1438H/2017 di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, pada 24 Julai lalu. - Foto BERNAMA

Ketibaan rombongan jemaah itu, disambut Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) 1438 Hijrah, Nurrin Anuwar Shamsuddin, pengurusan tertinggi TH Makkah serta wakil pengendali jemaah haji di Arab Saudi, Muassasah Asia Tenggara dan petugas TH.

Mereka disambut dengan alunan nasyid dan diberikan air zam zam.

Rombongan jemaah itu tiba dengan berihram dan dijadual melaksanakan umrah pada sebelah malam, Ahad.

Penerbangan kedua membawa 420 jemaah haji dari KLIA akan tiba di Makkah, pada malam Ahad.

Dalam pada itu, kumpulan awal jemaah haji Malaysia yang berlepas dari KLIA dan tiba di Madinah pada 24 Julai lalu, dijadual bergerak ke Tanah Suci Makkah pada 2 atau 3 Ogos ini.

Keseluruhan sebanyak 112 penerbangan membawa 30,200 bakal haji akan bertolak secara berperingkat, sama ada ke Madinah atau Makkah, ​​​​​dengan penerbangan terakhir musim haji kali ini pada 26 Ogos.

Sementara itu, TH mengadakan majlis bacaan Yasin dan doa selamat memohon kelancaran perjalanan operasi haji pada tahun ini, di Ibu Pejabat TH Makkah, malam semalam (Sabtu).

Majlis itu yang turut dihadiri Nurrin Anuwar, juga memohon supaya kesulitan penerbangan ke Tanah Suci akibat kelewatan pengeluaran visa di tanah air dapat diatasi. - BERNAMA

Berita Harian X