Isnin, 31 Julai 2017 | 5:18pm

6 berita gembira untuk veteran tentera

SERDANG: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan pelbagai inisiatif, bantuan baharu dan penambaikan skim sedia ada khusus untuk kebajikan bekas anggota serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perdana Menteri mengumumkan berita gembira itu di hadapan lebih 15,000 veteran ATM pada Perhimpunan Veteran ATM sempena pelancaran Tabung Pahlawan 2017 di sini.

Antaranya ialah pengenalan skim Bantuan Bakti Negara (BBN) sebagai bantuan permulaan kerajaan untuk manfaat 66,000 veteran ATM tidak berpencen yang akan menerima RM1,200 setahun.

"Syarat layak skim BBN adalah berdasarkan kriteria penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), iaitu mereka yang tergolong dalam kelompok pendapatan terendah bawah 40 peratus (B40).

"Bagi bukan penerima BR1M, yang membabitkan seramai 10,959 veteran ATM tidak berpencen berumur 60 tahun ke atas pula akan diberi insentif khas RM600 setiap tahun.

Hargai pejuang pertiwi

"Inilah sumbangan dan cara kerajaan menghargai pejuang pertiwi sempena Hari Pahlawan yang disambut di seluruh negara hari ini," katanya menyampaikan ucaptama pada perhimpunan itu.

BBN adalah satu bentuk mekanisme baharu bagi kerajaan untuk membantu veteran ATM yang berpendapatan rendah dan tidak berpencen tanpa membebankan sumber kewangan kerajaan sedia ada," katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri yang juga Penaung Tabung Pahlawan, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Turut sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin; Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Datuk Seri Affendi Buang dan Presiden Persatuan Veteran ATM (PVATM), Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan inisiatif dinamakan Skim Anuiti Veteran (SAVe), bertujuan memberi pendapatan secara bulanan seumur hidup kepada bakal veteran ATM tidak berpencen seperti mana veteran yang mendapat pencen bulanan.

"Anggota ATM yang berhenti daripada perkhidmatan lebih awal juga layak menerima pencen bulanan menerusi caruman hasil pelaburan kerajaan," katanya.

Inisiatif ketiga adalah penambahbaikan Skim Pencen Hilang Upaya bagi veteran ATM dan bekas anggota Wataniah sepenuh masa yang berkhidmat kurang 10 tahun dan tidak menerima pencen.

"Ini bermakna anggota yang diberhentikan awal akibat kecederaan ketika menjalankan tugas atau kecacatan kekal akan menerima kenaikan pencen 300 hingga 800 peratus, iaitu bersamaan nilai RM500 hingga RM2,000 sebulan.

"Sebelum ini, mengikut syarat mereka hanya menerima Pencen Hilang Upaya serendah RM65 sebulan," katanya.

Insentif veteran kelainan upaya

Perdana Menteri turut mengumumkan insentif veteran kelainan upaya selepas bersara.

"Sekarang ini mereka menerima RM500 setahun daripada dana Tabung Pahlawan. Kerajaan akan menambah sebanyak RM500 setahun, menjadikan jumlah keseluruhan RM1,000," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut bersetuju menambah kuota haji bagi veteran ATM daripada 100 sebelum ini kepada 400 tempat mulai tahun ini.

Sementara itu, bagi menghargai jasa pejuang pertiwi, beliau berkata, kerajaan juga akan menyumbang RM5 juta kepada Tabung Pahlawan tahun ini, sekali gus melakar rekod kutipan tertinggi sejak dana itu dilancarkan.

Dalam ucapannya, Najib berkata, biarpun bergelar bekas tentera, semangat patriotisme ditonjolkan veteran ATM masih dalam sanubari mereka sehingga sanggup menawar diri memikul senjata andai bumi Malaysia diancam.

"Saudara-saudari sekalian adalah pejuang tanah air yang walau apa keadaan jua tetap setia bersama kerajaan, rela berkorban jiwa dan raga, hatta nyawa menjadi taruhan demi mempertahankan pertiwi tercinta.

"Segala jasa pengorbanan bekas tentera akan terus dihargai serta dijadikan contoh teladan dan iktibar," katanya.

Najib turut mengimbau peranan anggota ATM dalam pelbagai misi, termasuk perjuangan menentang komunis, darurat, ancaman lanun dan tragedi hitam pencerobohan musuh di Lahad Datu, Sabah.

FAKTA nombor:

* 288,952 veteran ATM, termasuk pejuang di era kemerdekaan didaftarkan setakat Mei 2017.

DATUK Seri Najib Tun Razak tiba untuk menghadiri Perhimpunan Veteran ATM di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC). - Foto Asyraf Hamzah
DATUK Seri Najib Tun Razak tiba untuk menghadiri Perhimpunan Veteran ATM di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC). - Foto Asyraf Hamzah

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X