Isnin, 31 Julai 2017 | 6:25pm

Call Centre dengar nasib veteran ATM - Hishammuddin

SERDANG : Kerajaan menubuhkan pusat panggilan atau Call Center sebagai saluran untuk menghubungkan keluh kesah veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

Pusat panggilan itu antara ikrar kerajaan untuk terus menjaga kebajikan dan keprihatinan anggota dan veteran ATM yang bergolok gadai menjaga keselamatan tanah air.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata keyakinan menjaga kebajikan ATM turut disokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, yang juga Penaung Tabung Pahlawan, Datin Seri Rosmah Mansor untuk terus mengenang pengorbanan serta sumbangan perajurit dan waris mereka.

Beliau berkata, sokongan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Pertahanan membuktikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat adalah kunci utama dalam usaha membangun serta memartabatkan negara berdaulat.

Katanya, solidariti dan kekeluargaan antara warga pertahanan masih mantap kerana tanpa kestabilan dan kerukunan bernegara, nescaya usaha membina Malaysia akan terjejas.

"Apa makna memiliki aset ketenteraan paling canggih atau mempunyai sistem persenjataan termoden sekiranya kita gagal membela nasib veteran ATM yang bersabung nyawa dan mencurah keringat demi mempertahankan tanah air ini.

DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein beramah mesra dengan veteran tentera pada majlis perasmian Perhimpunan Veteran ATM di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarbangsa MINES (MIECC) hari ini. Majlis disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.- Foto BERNAMA

"Mereka inilah yang telah bersengkang mata selama ini berkorban masa, tenaga dan nyawa demi memastikan kita dapat hidup dalam suasana yang aman dan harmoni.

"Ikrar saya, akan saya jaga kebajikan para veteran serta seluruh ahli keluarga mereka walaupun saya sedar apa diusahakan ini terlalu kecil dan tidak akan pernah setimpal dengan jasa, bakti dan pengorbanan yang anggota dan veteran curahkan selama ini," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Veteran ATM 2017 dan Pelancaran Tabung Pahlawan, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Turut memeriahkan perhimpunan raksasa adalah Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin; Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Datuk Seri Affendi Buang dan Presiden Persatuan Veteran ATM (PVATM), Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Hishammuddin berkata, kerajaan turut mewujudkan inisiatif perumahan (membina rumah mampu milik dan 1 Malaysia Veteran House Repair Programme), pendidikan ( Skim Bantuan Persekolahan dan Skim Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam untuk anak-anak anggota veteran) dan Kesihatan (Skim Bantuan Perubatan e-mass dan pembinaan Poliklinik Angkatan Tentera).

Selain itu, ia termasuk inisiatif pembinaan Kerjaya dan Keusahawanan (Program Recognition Prior Experiential Learning-RPEL) dan Bantuan Khas seperti Bayaran Insentif Khas Insurgensi, Skim Bantuan Sara Hidup, Skim Bantuan Bencana Alam.

Sementara itu, Persatuan Veteran ATM (PVATM) gembira dan menyambut baik enam insentif diumumkan kerajaan, menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam soal kebajikan 15,000 veteran ATM seluruh negara.

Mohd Anwar berkata, pihaknya turut berterima kasih atas bantuan RM300 yang diberikan kepada veteran berumur 65 tahun yang hidup dalam keadaan daif, hilang upaya dan tidak mempunyai sumber pendapatan.

"Tahun ini syarat penerima bantuan RM300 diperluaskan kepada veteran berusia 60 tahun, mengikut paras garis kemiskinan dan Dasar Warga Tua Kebangsaan. Perkara ini menunjukkan keprihatinan kerajaan.

"Selain itu, kutipan Tabung Pahlawan banyak memberi manfaat kepada 3,000 veteran dan bekas tentera kelainan upaya, ditimpa musibah dan anak yatim daripada keluarga veteran yang ditempatkan di Pusat Jagaan Anak Yatim Veteran, di Kulim," katanya.

DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein berucap pada Perhimpunan Veteran ATM di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC). - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X