Selasa, 1 Ogos 2017 | 12:58pm

Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir dibuka hari ini

KUALA BERANG: Tasik Kenyir kini memiliki tarikan baharu apabila diisytiharkan sebagai Zon Bebas Cukai dengan aktiviti penjualan barangan yang dikecualikan cukai bermula hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pembukaan fasa pertama hari ini membabitkan pusat jualan yang terdiri daripada lima premis perniagaan antaranya coklat, bagasi, minyak wangi, pinggan, mangkuk dan peralatan memasak.

Katanya, penjualan yang dijalankan ini tidak membabitkan aktiviti jualan barangan berduti tinggi seperti rokok, produk petroleum, kenderaan dan produk minuman beralkohol.

"Mengikut perancangan, fasa seterusnya membabit pembukaan zon bebas cukai di Pulau Bayas yang dijangka dibuka pada pertengahan tahun depan.

"Kita berharap zon bebas cukai di Tasik Kenyir ini menjadi setanding dengan zon bebas cukai lain yang terdapat di Pulau Langkawi, Rantau Panjang dan Padang Besar pada masa akan datang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir, di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Omar Ismail.

Sementara itu, Omar ketika ditemui berkata, pihaknya menyasarkan untuk menarik seramai 750,000 pengunjung ke Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir ini yang akan turut bergandingan dengan tarikan sedia ada seperti Kenyir Island Hopping, Santuari Kelah dan Kenyir Elephant Conservation Village.

"KETENGAH yakin operasi zon bebas cukai ini akan menyemarakkan aktiviti pelancongan di Tasik Kenyir, selain menyasarkan 750,000 pengunjung bagi tahun ini iaitu dengan nisbah 10 peratus pelancong yang berkunjung ke negeri ini akan ke Tasik Kenyir.

"Selain itu, penduduk tempatan juga akan menikmati hasil daripada pembangunan Tasik Kenyir, contohnya pengusaha rumah bot kini sebanyak 42 buah manakala bot laju sebanyak 72 buah dan ia membuka peluang perniagaan yang luas kepada penduduk," katanya.

MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman ketika hadir pada Majlis Pembukaan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir, Kuala Berang, hari ini. - Foto Rozainah Zakaria
Berita Harian X