Selasa, 1 Ogos 2017 | 4:12pm
MOHD Azharuddin Mat Sah ketika sidang media mengenai e-hailing dan teksi di Ibu Pejabat SPAD, Kuala Lumpur.- Foto Syarafiq Abd Samad

SPAD terima 3,474 permohonan lesen teksi individu

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menerima 3,474 permohonan lesen teksi individu dari September 2016 hingga Julai lalu menerusi inisiatif Program Transformasi Industri Teksi (TITP).

 

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah, berkata sebanyak 1,722 lesen terbabit sudah diluluskan dan dalam proses dikeluarkan manakala sejumlah RM2.15 juta geran tunai kerajaan diagihkan kepada 431 pemandu sebagai insentif memandu kereta persendirian.

 

Bagaimanapun, katanya, lesen berkenaan hanya layak dimohon pemandu teksi yang sudah menamatkan kontrak pajak minimum selama tujuh tahun.

 

"Bila pemandu teksi mengadu, mereka (kira-kira 30 hingga 40 peratus) yang dipercayai mendapat kesan (pendapatan berkurang akibat kemunculan Uber dan Grab), kita kena seimbang apa yang perlu dilaksanakan demi kemajuan pengangkutan negara.

 

"(Atas sebab itu), kerajaan membuat polisi kontrak pajak, siapa yang habis pajak (minimum tujuh tahun), kerajaan bagi RM5,000 (geran tunai) kepada setiap pemandu untuk beli kereta baharu (insentif  memandu kereta individu).

 

"Ia juga akan membolehkan mereka kekal menggunakan sistem teksi dan pada masa sama beroperasi di bawah Uber atau Grab.

 

"Dari segi pemilihan kereta, mereka boleh memilih mana-mana model kenderaan yang memenuhi kriteria keselamatan ditetapkan," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media Kelulusan Pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat, di ibu pejabat SPAD, di sini hari ini. 

 

27 Julai lalu, Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 yang dibentangkan secara berasingan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri di Dewan Rakyat diluluskan tanpa pindaan menerusi undian suara dengan lebih suara bersetuju.

 

Perkhidmatan e-hailing, termasuk disediakan lima syarikat tempatan seperti Pick N Go, Zepp On, EZCab, Riding Pink dan JCab akan tertakluk di bawah peraturan dan kawal selia SPAD dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) selepas dua rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Negara dan diwartakan.

 

Berita Harian X