Selasa, 1 Ogos 2017 | 4:24pm
DATUK Seri Hishammuddin Hussein. -Foto Asyraf Hamzah
DATUK Seri Hishammuddin Hussein. -Foto Asyraf Hamzah

Kerajaan akan umum inisiatif baharu ATM

KUALA LUMPUR: Sejajar komitmen membela kebajikan veteran dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kerajaan akan mengumumkan beberapa inisiatif baharu mencakupi lima aspek.

Pengumuman yang dijangka akan dibuat dalam tempoh terdekat itu antaranya berkaitan perumahan, perubatan, pendidikan, latihan dan kesihatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya ketika ini dalam fasa akhir penilaian berhubung inisiatif berkenaan yang bakal melonjak sosioekonomi dan taraf hidup anggota ATM.

"Pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam adalah usaha berterusan kerajaan dan Kementerian Pertahanan, malah banyak lagi inisiatif akan diumum dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan enam inisiatif, termasuk BBN yang memberi bantuan RM1,200 kepada veteran, dengan syarat mereka tergolong dalam senarai penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Veteran yang tidak disenarai sebagai penerima BR1M pula akan diberi RM600 dengan syarat berumur 60 tahun ke atas.

Inisiatif lain yang diumumkan Perdana Menteri merangkumi pertambahan kuota haji kepada 400 kekosongan untuk veteran dan Skim Anuiti Veteran (SAVe) bagi memberi pendapatan secara bulanan seumur hidup kepada bakal veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen.

Hishammuddin berkata, kerajaan memperhalusi pelbagai faktor, pandangan dan maklum balas dalam merangka enam inisiatif khas bagi membela kebajikan veteran yang diumumkan, semalam.

Beliau menyifatkan pelaksanaan inisiatif berkenaan, termasuk Bantuan Bakti Negara (BBN) bukan perkara mudah kerana kerajaan perlu mengeluarkan belanja lebih RM85 juta setahun.

"Diakui pengumuman Perdana Menteri banyak menyentuh soal insentif kebajikan kepada golongan veteran tidak berpencen dan veteran kurang upaya.

"Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini, kita perlu memberi keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

"Golongan tidak berpencen ini amat memerlukan bantuan kerana mereka tidak memiliki pendapatan tetap dan pencen bulanan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X