Rabu, 2 Ogos 2017 | 5:41pm
TUN Dr Mahathir Mohamad.- Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

'Bicara selepas 4 Ogos tak sah'

KUALA LUMPUR: Pengerusi pakatan pembangkang, Tun Dr Mahathir Mohamad, mendakwa Malaysia bakal dilanda krisis kehakiman mulai Jumaat ini.

Katanya, semua perbicaraan akan menjadi tidak sah susulan pelantikan Tan Sri Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Sistem pentadbiran badan kehakiman yang bakal dikendalikan Md Raus akan menjadi cacat kerana pelantikannya tidak sah dari sisi Perlembagaan.

"Oleh itu, mengikut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan, cuma Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, boleh membuat rujukan permasalahan Perlembagaan untuk ditentukan Mahkamah Persekutuan.

"Kami harap baginda melaksanakan budi bicara untuk membuat satu rujukan ke Mahkamah Persekutuan berhubung persoalan sama ada pelantikan semula itu sah atau tidak," katanya di sini, petang ini.

Dr Mahathir membacakan kenyataan Majlis Presiden pakatan pembangkang selepas diberi peluang menyerahkan petisyen berhubung pelantikan Md Raus di Istana Negara, di sini.

Terdahulu, Dr Mahathir diiringi Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, dilihat dibenarkan memasuki perkarangan Istana Negara menerusi laluan di Pintu 3, kira-kira jam 3 petang.

Difahamkan, petisyen yang mempersoalkan kesahihan pelantikan Md Raus dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin itu diterima oleh Datuk Maharaja Lela Istana Negara, Mejar Jeneral (B) Datuk Mamat Ariffin Abdullah.

Pada 7 Julai lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Md Raus sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan untuk tempoh tiga tahun, berkuat kuasa 4 Ogos ini mengikut Fasal 1(A) Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.

Seiring pengumuman itu, Md Raus dilantik menyandang jawatan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, mulai tarikh dan untuk tempoh yang sama.

Menerusi pengumuman sama, Zulkefli dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan untuk tempoh dua tahun mulai 28 September lalu mengikut Fasal 1(A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau terus dilantik memegang jawatan Presiden Mahkamah Rayuan mulai tarikh dan untuk tempoh yang sama.

Berita Harian X