Khamis, 3 Ogos 2017 | 5:29pm
SETIAUSAHA Politik Perdana Menteri Datuk Jailani Ngah (tiga, kanan) menerangkan sesuatu mengenai kemudahan Transit Aliran Massa (MRT) kepada Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tiga dari kiri) ketika bersama Alumni Program Khas Haji Perdana Menteri menaiki tren MRT dari Stesen Stadium Kajang ke Stesen Tun Razak Exchange. - Foto BERNAMA

MRT bukti kerajaan tunai tanggungjawab agama - Mufti

KAJANG: Kerajaan berjaya menunaikan amanah dituntut Islam menerusi penyediaan prasarana pengangkutan awam bertaraf dunia seperti Transit Aliran Massa (MRT) yang memudahkan perhubungan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, berkata daripada sudut agama, menyediakan kemudahan pengangkutan awam adalah hak rakyat yang wajib dilaksanakan pemerintah.

Katanya, kemudahan awam seperti MRT memudahkan perhubungan, memberi keselesaan, menjimatkan masa, menghilangkan tekanan memandu dalam kesesakan lalu lintas dan memudahkan ziarah keluarga untuk mengukuhkan silaturahim.

"Tanpa syak lagi MRT menjadikan pengangkutan awam kita setaraf negara maju seperti Jepun dan beberapa negara Eropah yang dengan sendirinya membuktikan negara Islam tidak ketinggalan zaman.

"Saya harap masyarakat memanfaatkan kemudahan ini dan jangan melakukan kerosakan (vandalisme) yang dilarang Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyertai program lawatan Ulama-Umara menaiki MRT dari Stesen MRT Stadium Kajang ke Stesen Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur, hari ini.

Program itu sempena Majlis Perdana Ulama-Umara dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya.

Program lawatan menggunakan MRT diketuai Setiausaha Politik Perdana Menteri yang juga Pengerusi Sekretariat Ulama-Umara, Datuk Jailani Ngah.

Dalam pada itu, Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, berkata MRT menepati tuntutan agama kerana pengguna selesa menziarahi keluarga.

"Rasulullah pernah bersabda empat perkara memberikan keselesaan dan kebahagiaan adalah pasangan hidup, tempat tinggal luas, jiran yang baik dan kenderaan memberi keselesaan," katanya.

Berita Harian X