Ahad, 6 Ogos 2017 | 5:55pm
TIMBALAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersalaman dengan orang ramai pada majlis perasmian mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota di Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

Siasat gerakan ateis dalam kalangan orang Islam

KUANTAN: Kerajaan akan menyiasat dakwaan kewujudan Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur yang turut dianggotai orang Islam seperti diviralkan di media sosial, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu sememangnya membimbangkan sekiranya ia benar-benar berlaku kerana ia membabitkan usaha memesongkan akidah umat Islam dan boleh menggugat kestabilan.

"Kalau ia menggugat soal akidah umat Islam, kuasa menguatkuasakan sudah ada di bawah enakmen jenayah syariah di peringkat negeri masing-masing manakala di peringkat Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

"Kerajaan akan memantau dakwaan ini kerana ia satu perkara serius dan membabitkan akidah seseorang umat Islam itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Shahar Abdullah dan Ketua Pemuda UMNO Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim.

Beliau mengulas kebimbangan orang Islam mengenai kewujudan 'Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur' termasuk di kalangan orang Islam yang secara terang-terangan menyertai perjumpaan kumpulan itu yang viral, baru-baru ini.

Ateis adalah individu yang menyatakan diri mereka tidak bertuhan dan mengamalkan kehidupan bebas tanpa batasan.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, selain tindakan undang-undang, kerajaan juga akan menjalankan sesi penerangan dan pendidikan bagi mengembalikan semula akidah umat Islam yang terpesong dengan atheist.

"Ia dilakukan sejak dulu lagi, di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi kita ada guru mengajar mata pelajaran agama yang menjadi komponen terpenting dalam pengukuhan akidah.

"Di samping itu, bagi menangani isu-isu semasa berkaitan akidah, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi agama di peringkat Persekutuan sentiasa bekerjasama dengan agensi peringkat negeri bagi menganjurkan pelbagai program," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X