Isnin, 7 Ogos 2017 | 12:02am
IROL mengangkat ikan malang yang berjaya didaratkannya. - Foto Khalid Latip

Malang yang bawa tuah

TANJUNG MANIS: Kejayaan seorang nelayan Pulau Bruit di sini 'mendaratkan' 22 ekor ikan malang yang setiap seekor seberat kira-kira 40 kilogram, bukan setakat menarik peraih, malah mencuri perhatian majalah antarabangsa berpangkalan di Perancis.

Irol Shahalam Bustaman, 55, berkata rezeki 'durian runtuh' itu diperolehnya ketika menjaring di Perairan Tanjung Sirik, Pulau Bruit yang cukup terkenal sebagai lubuk ikan dan pelbagai hasil laut bernilai tinggi pada 31 Julai lalu.

Beliau berkata, kejayaan itu turut menjadi 'buah mulut' penduduk setempat sebelum berita mengenainya bersama gambar ikan gergasi itu dimuatnaik dalam Facebook hingga menarik perhatian kaki pancing dari seluruh dunia.

"Sepanjang pengalaman sebagai nelayan, sudah banyak ikan saya tangkap tetapi kebanyakannya bersaiz kecil dan sederhana. Inilah kali pertama saya mendaratkan ikan malang gergasi.

"Berat jala agak luar biasa ketika hari kejadian. Mulanya, saya menyangka ada makhluk lain `tersesat' dalam jala saya sehinggalah melihat 'kelibat' ikan malang yang cukup besar dalam jala," katanya ketika ditemui BH, di sini semalam.

IROL mengangkat ikan malang yang berjaya didaratkan oleh bapanya. - Foto Khalid Latip

MALANG dinaikkan sebelum dijual kepada peraih di Belawai. - Foto Khalid Latip

Beliau menganggap kejayaan itu sebagai rezeki, serta pengalaman cukup manis sepanjang menjadi nelayan bagi menyara keluarga.

"Memang terkejut ketika memperoleh hasil tangkapan itu. Syukur pada Allah yang memberi rezeki ini," katanya.

Bercerita lanjut mengenai kejayaannya, Irol berkata, beliau menyedari ikan berkenaan terperangkap dalam jalanya ketika berada di perairan berkenaan yang terletak kira-kira tujuh jam perjalanan menaiki bot dari Kampung Belawai.

Katanya, beliau merasakan 'sesuatu' yang berat ketika menaikkan jala sebelum melihat ikan besar berwarna kekuningan-kuningan terperangkap di dalamnya.

"Mulanya saya menyangka cuma seekor, rupa-rupanya satu kumpulan. Selesai jaring dinaikkan sepenuhnya, kiraan yang dibuat mendapati 22 ikan malang gergasi berjaya ditangkap. Memang besar rezeki keluarga saya pada hari itu," katanya.

Irol berkata, kejayaannya menaikkan ikan malang gergasi itu tersebar cepat sehingga kumpulan peraih bergegas menantinya di Jeti Belawai.

"Berapa keuntungan yang diperoleh tidak perlulah saya beritahu, namun cukuplah sekadar menyatakan kesyukuran dengan kurniaan Allah ini yang menjadi rezeki cucu-cucu saya," katanya.

Katanya, Perairan Tanjong Sirik sememangnya kaya dengan pelbagai hasil laut, termasuk ikan bernilai tinggi seperti pari, tenggiri, bawal, kerisi dan malang, malah kedudukannya yang terpencil turut menjadi tumpuan habitat hidupan maritim.

IKAN malang bersaiz gergasi jarang diperoleh nelayan tempatan. - Foto Khalid Latip

"Biarpun ikan malang bergerak dalam satu kumpulan, ia bukan mudah ditangkap kerana hanya boleh diperoleh masa tertentu sahaja, terutama selepas musim tengkujuh," katanya.

Perkongsian gambar tangkapan yang dibuat Irol menarik perhatian portal memancing antarabangsa dari Perancis yang berusaha menghubunginya kerana berhasrat memaparkan kejayaannya itu.

"Jika mereka mahu datang memancing di sini, saya sentiasa mengalu-alukan kerana boleh mengetengahkan potensi Pulau Bruit sebagai syurga ikan bersaiz gergasi di peringkat antarabangsa," katanya.

INFO

  • RM30 hingga RM40 sekilogram harga pasaran ikan malang
  • Tanjung Sirik antara lubuk ikan terkenal di Perairan Sarawak
  • 7 jam perjalanan menaiki bot dari Kampung Belawai ke Tanjung Sirik
Berita Harian X