Isnin, 7 Ogos 2017 | 2:50pm

Sudahlah terancam, dibunuh pula

KOTA KINABALU: Seekor gajah Pygmy betina ditemui mati dengan beberapa kesan tembakan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Hutan Simpan Malua, Kinabatangan, semalam.

Gajah terbabit ditemui masih hidup oleh sekumpulan pekerja ladang kira-kira jam 7 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa, namun disahkan mati tidak lama kemudian.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pegawainya bersama doktor haiwan bergegas ke lokasi terbabit untuk menjalankan siasatan, selain mengenal pasti punca kematiannya.


Gajah betina yang mati akibat ditembak di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Hutan Simpan Malua, Kinabatangan. - Foto ihsan video Facebook Pusat Lapangan Danau Girang

"Kita percaya ada tiga kesan tembakan, namun belum dapat dipastikan kerana masih menunggu laporan pegawai yang menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Setakat ini, motif gajah itu ditembak belum dapat dipastikan kerana haiwan liar terbabit tidak mempunyai gading manakala dagingnya tidak diambil.

Pagi tadi, Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC), iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat kajian berkaitan hidupan liar di Sabah menerusi laman Facebook mereka berkongsi rakaman video gajah berkenaan.

Video berdurasi satu minit tujuh saat itu dipercayai dirakam oleh pekerja ladang dengan gajah berkenaan masih hidup serta tubuhnya mempunyai beberapa kesan tembakan.

Hujung tahun lalu, dua gajah termasuk seekor yang memiliki gading membengkok ke bawah, menyerupai haiwan prasejarah ditemui mati di Hutan Simpan Kawag, Lahad Datu.

Gajah jantan dianggarkan berumur 25 tahun dinamakan Sabre yang mempunyai gading membengkok ke bawah, ditemui sudah tinggal rangka dengan gadingnya hilang dipercayai diambil pemburu haram pada 31 Disember lalu.

Pada 27 Disember lalu, bangkai seekor lagi gajah dianggarkan berusia 40 tahun ditemui dengan bahagian kepalanya dipotong dan gadingnya hilang dalam ladang sawit bersempadan Hutan Simpan Kawag.

Gajah betina yang mati akibat ditembak di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Hutan Simpan Malua, Kinabatangan. - Foto ihsan video Facebook Pusat Lapangan Danau Girang
Berita Harian X