Isnin, 7 Ogos 2017 | 7:25pm
WAKTU operasi bagi LRT laluan Sri Petaling ke stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi dan 2 pagi masing-masing pada 19 Ogos dan 30 Ogos nanti. - Foto fail NSTP/Surianie Mohd Hanif
WAKTU operasi bagi LRT laluan Sri Petaling ke stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi dan 2 pagi masing-masing pada 19 Ogos dan 30 Ogos nanti. - Foto fail NSTP/Surianie Mohd Hanif

Khidmat LRT dilanjutkan sempena pembukaan, penutup KL2017

KUALA LUMPUR: Waktu operasi bagi Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Sri Petaling ke stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi dan 2 pagi masing-masing pada 19 Ogos dan 30 Ogos nanti.

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dalam satu kenyataan berkata ia dilakukan sempena acara perasmian dan penutup temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan LRT untuk ke Stadium Bukit Jalil.

Katanya, pengguna yang bergerak keluar dari stesen Bukit Jalil boleh membuat penukaran perkhidmatan Rapid Rail lain termasuk LRT laluan Ampang, LRT laluan Kelana Jaya, Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan Monorel untuk ke destinasi masing-masing.

"Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga akan dilanjutkan bagi acara pembukaan dan penutup berkenaan.

"Butiran penuh mengenainya akan diumumkan tidak lama lagi," katanya.

Mengulas lanjut, SPAD berkata sebanyak 60 bas akan disediakan dengan kekerapan 10 minit hingga 15 minit, membabitkan tujuh lokasi terpilih ke Stadium Bukit Jalil.

"7 lokasi permulaan (ke Bukit Jalil) berkenaan ialah Terminal Jalan reko, Kajang; Ampang Point, Ampang; Greenwood, Gombak; Hentian Bandar Shah Alam; Hentian Bas Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC); Platform C, Pasar Seni dan di hadapan NU Sentral, Kl Sentral.

"Bagi memudahkan pengguna, papan destinasi elektronik bas terbabit akan memaparkan 'KL SEA Games 2017," katanya.

Berita Harian X