Selasa, 8 Ogos 2017 | 10:16pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir pada Majlis Perasmian Bangunan Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MiTEC), di Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

MITEC contoh projek berjaya, pacu industri MICE negara

KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) bernilai RM628 juta adalah antara contoh projek penting dibangunkan menepati bajet dan tempoh pelaksanaan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, MITEC menjadi contoh kepada projek lain yang akan turut dibangunkan dalam projek KL Metropolis, pembangunan bercampur berimpak tinggi bernilai RM20 bilion di Persiaran Dutamas.

Beliau turut menyifatkan bangunan MITEC yang tersergam indah sebagai satu ikon kejayaan syarikat Bumiputera yang membanggakan.

"MITEC adalah satu lagi contoh kejayaan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat negara ini dan tidak masuk akal apabila ada pihak mendakwa ekonomi kita gagal seperti tohmahan pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bangunan MITEC kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Bangunan MITEC, Jalan Duta di sini, malam ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Projek dibangunkan Naza TTDI Sdn Bhd itu mengambil masa empat tahun tiga bulan untuk disiapkan.

Perdana Menteri berkata, dengan kewujudan MITEC, sektor MICE (mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran) yang sedang berkembang pesat di negara ini dijangka terus mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur menjadi satu daripada lima bandar raya paling kerap dikunjungi menjelang 2020.

Beliau berkata, industri pelancongan perniagaan di negara ini dijangka menyumbang RM3.9 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK), selain menjana 16,700 peluang pekerjaan menjelang 2020.

Katanya, tahun lalu sektor MICE Malaysia menarik 111,298 perwakilan ke 153 acara dengan penjanaan pendapatan sebanyak RM1.035 bilion.

"Dengan fasiliti terkini, saya yakin MITEC akan meletakkan Malaysia di peta dunia, terutama dalam industri MICE. Menjana perniagaan baharu dan pelancongan ke dalam negara, sekali gus memberi sinar kecemerlangan baharu dan menyediakan peluang pekerjaan, di samping meningkatkan kemahiran dan kadar upah yang memberi pulangan kepada rakyat negara ini," katanya.

Menurut Perdana Menteri, dengan penyerahan bangunan MITEC kepada MITI hari ini, kerajaan akan mempromosikan kemudahan itu sebagai lokasi pilihan dengan menggalakkan program dan persidangan kebangsaan serta antarabangsa diadakan di pusat berkenaan.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan dasar mesra perniagaan kerajaan seperti dilaporkan Wharton School di University of Pennsylvania yang melihat Malaysia sebagai negara terbaik untuk melabur.

"Laporan Bank Dunia baru-baru ini menyatakan ekonomi Malaysia sedang berkembang dan kekuatan itu sedang dibina dan akan terus dijamin menerusi usaha kerajaan dan rakyat Malaysia," katanya.

Najib berkata, MITEC yang tersergam indah juga bakal beroperasi sebagai venue Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9.

"Sembilan acara Sukan SEA termasuk gimnastik berirama, angkat berat, hoki dalam dewan akan diadakan di sini," katanya.

INFO

* KL Metropolis berkonsepkan bandar dalam bandar dibangunkan di kawasan seluas 30 hektar dengan MITEC menjadi mercu tanda

* MITEC - ruang pameran terbesar di negara ini dengan 11 dewan pameran, sebuah dewan serba guna, bilik persidangan dan restoran

* MITEC dibangunkan di kawasan seluas 1.5 juta kaki persegi (139,354 meter persegi) dengan keluasan lantai pameran 488,000 kaki persegi (45,337 meter persegi)

352 dibaca
Berita Harian X