Jumaat, 11 Ogos 2017 | 3:27pm
PENGARAH JAWI, Abdul Aziz Jusoh. - Foto Asyraf Hamzah

JAWI pantau kegiatan ateis

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) memantau rapi pergerakan kumpulan ateis atau mana-mana pihak yang mempunyai kecenderungan melanggar perundangan Islam di negara ini.

Pengarah JAWI, Abdul Aziz Jusoh, berkata ia susulan laporan di media sosial berhubung perhimpunan gerakan ateis di ibu negara pada 3 Ogos lalu.

Menegaskan siasatan dibuat secara berterusan, beliau berharap orang ramai akan membantu menyalurkan maklumat dalam usaha mengekang kegiatan berkenaan.

"Sebagai contoh, peruntukan aspek perundangan di Wilayah Persekutuan menyebut penyebaran ajaran ateis boleh dikenakan tindakan mengikut Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

"Mana-mana ajaran sama ada ateis atau lain yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak diterima dalam Islam.

"Malah, ia juga bercanggah dengan prinsip Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, JAWI akan meneruskan pemantauan kegiatan itu di kawasan tertentu di sekitar ibu negara.

Katanya, mereka yang didapati menyebarkan ajaran bertentangan dengan Islam boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah.

Berita Harian X