X
Jumaat, 11 Ogos 2017 | 8:50pm
WAJAH manusia berhidung mancung seolah-olah Presiden Abraham Lincoln yang terhasil akibat proses hakisan tiga batu bagaikan menyaksikan `pertunjukan udara kelawar' pada waktu senja di pintu masuk dari bahagian atas Gua Mulu, Miri.- Foto ihsan pembaca
WAJAH manusia berhidung mancung seolah-olah Presiden Abraham Lincoln yang terhasil akibat proses hakisan tiga batu bagaikan menyaksikan `pertunjukan udara kelawar' pada waktu senja di pintu masuk dari bahagian atas Gua Mulu, Miri.- Foto ihsan pembaca

'Abraham Lincoln' terpukau kelawar Sarawak

KUALA LUMPUR: Siapa sangka bekas Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln yang ditembak mati pada 14 April 1865 masih wujud di Sarawak menyaksikan `pertunjukan udara kelawar' pada waktu senja di pintu masuk dari bahagian atas Gua Mulu, Miri.

Bagaimanapun, `Lincoln' yang dimaksudkan adalah tiga batu besar membentuk wajah manusia berhidung mancung seolah-olah bekas Presiden Abraham Lincoln yang terhasil akibat proses hakisan.

Di bahagian atas gua itu jugalah ratusan kelawar keluar dari gua menuju ruang angkasa pada waktu senja yang dengan sendirinya seolah-olah disaksikan Lincoln dan pastinya mempesonakan pelancong.

Pemangku Ketua Eksekutif (CEO) Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Mary Wan Mering, berkata destinasi pelancongan menakjubkan itu antara yang dipromosi sempena Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, pada 8 hingga 10 September depan.

Katanya, Gua Mulu mencakupi Taman Negara Mulu diiktiraf Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan menjadi antara daya tarikan pelancong domestik dan antarabangsa ke Bumi Kenyalang.

Beliau berkata, selain Gua Mulu, destinasi pelancongan lain adalah Taman Negara Semengoh, Batang Rejang, Kampung Budaya Sarawak dan lawatan ke rumah panjang yang pastinya meninggalkan kenangan sukar dilupakan pengunjung.

"Sarawak memiliki daya tarikan istimewa mencakupi warisan budaya, alam semula jadi, keunikan 27 etnik dan makanan berbilang etnik," katanya.

Program tiga hari bertema 'Sarawak Je' itu anjuran MATTA dengan rakan kerjasama, STB, manakala BH menjadi rakan media.

Dalam pada itu, CEO MATTA, Phua Tai Neng, yakin pelancong tidak akan menyesal memilih Sarawak sebagai destinasi yang wajib dilawati dengan kunjungan ke negeri berkenaan akan dikenang sepanjang hayat.

Katanya, pengunjung tidak perlu risau kerana semua pempamer adalah ahli MATTA yang mempunyai lesen daripada Kementerian Pelancongan dan mempunyai rekod cemerlang mengendalikan pelancong.

"Ramai pelancong yang menemui saya berkata mereka akan kembali ke Sarawak selepas kunjungan kali pertama yang dengan sendirinya membuktikan kehebatan negeri itu dalam industri pelancongan," katanya.

Berita Harian X