Jumaat, 11 Ogos 2017 | 9:08pm
KTM Komute di Stesen KTM Nilai. - Foto Ayshah Mohamad Jamaludin
KTM Komute di Stesen KTM Nilai. - Foto Ayshah Mohamad Jamaludin

KTMB edar 60,000 Kad Komuter Link percuma

KUALA LUMPUR: Sebanyak 60,000 Kad Komuter Link (Dewasa) bakal diedarkan KTM Berhad (KTMB) melalui perkhidmatan KTM Komuter secara percuma selama sebulan bermula 16 Ogos ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-60.

Pengurus Besar Perkhidmatan KTM Komuter, Khair Johari Ishak, berkata pemberian kad itu juga adalah tanda sokongan KTMB terhadap kempen 'Negaraku' dengan mesej 'Terima Kasih Negaraku'.

"Pemberian kad percuma ini adalah inisiatif KTMB untuk menggalakkan pengguna perkhidmatan KTM Komuter membudayakan kaedah pembayaran tiket tanpa tunai kerana ia lebih menguntungkan selain memberi penjimatan tambang sehingga 20 peratus.

"Penumpang perlu membuat tambah nilai bermula RM5 bagi mengaktifkan kad sebelum digunakan untuk menaiki perkhidmatan KTM Komuter," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, setakat Julai lalu, lebih 150,000 orang memiliki kad Komuter Link bagi kategori dewasa, pelajar, warga emas dan orang kurang upaya.

Kad Komuter Link diperkenalkan di rangkaian stesen KTM Komuter selepas sistem tiket baharu yang menggunakan token dan kad nilai simpan beroperasi pada 19 Oktober tahun lalu.

Orang ramai boleh mendapatkan Kad Komuter Link di semua kaunter tiket KTM Komuter di Lembah Klang melalui pasukan bergerak #yourbuddy. 

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di 03-22671200 atau twitter @ktm_berhad.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X