Sabtu, 12 Ogos 2017 | 3:50pm
KHAIRI (tengah barisan kedua) bersama pelajar yang menyertai program Seminar Didik Rakyat SPM YBR-BH di Auditorium Perpustakaan Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Seminar YBR-BH: Peluang terbaik dapat markah tinggi

KUALA TERENGGANU: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu merebut peluang dan membabitkan diri dengan pelbagai program pendidikan seperti mana yang dianjurkan Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Berita Harian (BH) terutama bagi menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu, Khairi Mohd Noor, berkata melalui program seumpama itu, calon bukan sahaja memperoleh ilmu bermanfaat, malah dapat mengetahui teknik terbaru untuk mendapat markah tinggi dalam peperiksaan.

Beliau berkata, pelajar juga perlu mempunyai matlamat dan melakukan pengorbanan untuk memperoleh sebanyak mungkin ilmu bagi membantu mereka menjawab peperiksaan sebenar kelak.

"Program yang dianjurkan BH dan Yayasan Bank Rakyat ini adalah satu penanda aras yang sangat bagus, terutama dalam menyediakan kemudahan kepada pelajar untuk mencari tempat mengulangkaji pelajaran dengan lebih menyeronokkan ketika cuti persekolahan.

"Malah, saya yakin dengan adanya maklumat terkini berkenaan soalan lazim untuk peperiksaan yang disediakan dalam akhbar BH menerusi sisipan SKOR, ia sekali gus dapat membantu pelajar membuat latih tubi dengan lebih mudah," katanya ketika merasmikan Seminar Didik Rakyat SPM YBR-BH yang disertai 210 pelajar dari 210 sekolah di Auditorium Perpustakaan Negeri di sini, hari ini.

Sementara itu, peserta Goh Kheng Long, 17, dari SMK Chung Hwa Wei Sin, berkata penganjuran seminar itu tepat pada masanya terutama untuk membantunya mempelajari teknik menjawab soalan Matematik.

"Matematik adalah antara subjek sukar dan sebagai pelajar, saya perlu mengetahui cara yang tepat untuk memperoleh markah tinggi.

"Saya berasa cukup bertuah dapat menyertai seminar ini kerana kebanyakan tenaga pengajar membantu saya memperkemaskan cara penyelesaian matematik dan membuat persediaan untuk peperiksaan tidak lama lagi," katanya.

Seorang lagi peserta, Yumni Athirah Alias, 17, dari SMKA Sheikh Abdul Malek berkata penyediaan modul serta tenaga pengajar yang serba boleh membuatkan pelajar yang mengikuti seminar itu seronok dan tidak bosan.

"Ini kali pertama saya menyertai program sebegini. Dengan modul serta hadiah yang disediakan bagi menggalakkan pelajar berani menjawab soalan, ia menjadikan seminar ini sangat bagus, menyeronokkan dan harus diteruskan pada masa hadapan.

"Malah, saya juga berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi peluang kepada kami untuk menyertai seminar ini kerana kebanyakan tenaga pengajar yang hadir mendedahkan kaedah penting untuk memperoleh markah ketika menjawab soalan peperiksaan," katanya.

Berita Harian X