Sabtu, 12 Ogos 2017 | 6:01pm
MAJLIS Pertukaran Dokumen Perjanjian Jual Beli di antara Free The Seed Sdn Bhd dan Pertubuhan Peladang Kawasan Pendang Selatan disaksikan Wilfred (belakang, kiri) bersama Nor Sabrina (belakang, tengah). - Foto Nur Syazwana Mansor
WILFRED (kiri) bersama Nor Sabrina (dua dari kanan) mengadakan lawatan di Kilang Free The Seed Sdn Bhd di Gurun. - Foto Nur Syazwana Mansor

Produk terbiodegrasi jerami jana RM7 juta

PENDANG: Jerami padi yang dahulunya hanya dianggap sisa pertanian tidak bernilai, kini mampu ditransformasi menjadi produk terbiodegrasi yang mampu menghasilkan pendapatan lebih RM7 juta setahun.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada hasil Projek Jerami Padi yang dibangunkan di bawah Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP), dengan dikawal selia Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata projek berkenaan membabitkan perjanjian 10 tahun antara syarikat berstatus BioNexus, Free The Seed Sdn Bhd (Free The Seed) dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pendang Selatan.

"Melalui perjanjian ini, PPK terbabit akan membekalkan 57,000 metrik tan jerami padi secara eksklusif daripada 12 estet mereka yang memiliki keluasan 1,937.7 hektar kepada Free The Seed.

"Projek ini dianggarkan memberi pendapatan tambahan kumulatif sebanyak minimum RM7.41 juta kepada lebih 2,400 peserta dari 800 isi rumah sepanjang 10 tahun kontrak," katanya selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Jual Beli antara Free The Seed dan PPK Pendang Selatan di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Nor Sabrina Mohd Nor; Ketua Pegawai Eksekutif Free The Seed, Dr Ramaness Parasuraman dan Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Pendang Selatan, Abdullah Mohamad.

Mengulas usaha sama itu, Wilfred berkata bekalan jerami padi akan diproses Free The Seed melalui teknologi enzim berpaten tersendiri untuk menghasilkan produk pembungkusan terbiodegradasi bagi pasaran tempatan dan eksport, termasuk ke Belanda, Jerman dan United Kingdom.

"Ciptaan teknologi Free The Seed yang menggunakan tindak balas enzim itu dipatenkan di bawah World Intelectual Property Organisation (WIPO) yang membenarkan syarikat untuk menghasilkan kira-kira 60 juta unit bahan pembungkusan setahun.

"Teknologi mereka juga mampu menukar sisa pertanian padi kepada pelbagai bentuk produk pembungkusan untuk industri makanan, penggunaan hospital dan pembungkusan barangan pembuatan.

"Inovasi ini adalah satu contoh penemuan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang diaplikasikan ke dalam industri, seterusnya menjana pendapatan dan pekerjaan, selain menekankan sumbangan masyarakat luar bandar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui STI," katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui projek terbabit turut membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang membabitkan lambakan jerami padi seperti pembakaran terbuka yang boleh mengundang pencemaran udara.

"Dianggarkan 500,000 tan metrik sekam dan jerami padi dihasilkan industri beras negara ini dalam tempoh setahun dan pelupusannya menjadi bebanan kepada petani, malah saya difahamkan negara menghasilkan 600,000 kilogram karbon dioksida setahun dari pembakaran terbuka jerami padi," katanya.

Berita Harian X