Ahad, 13 Ogos 2017 | 12:01am

Perwatakan Dennis tambat hati Puteri Johor


TUNKU Tun Aminah dan Dennis Muhammad menjelang perkahwinan mereka yang dijadualkan pada 14 Ogos 2017. - Foto ihsan Royal Press Office

JOHOR BAHRU: Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa beliau tertarik dengan Dennis Muhammad Abdullah kerana perwatakan bakal suaminya yang baik dan lemah lembut.

"Beliau sentiasa memberi sokongan dan memahami saya dengan baik," katanya yang akan melangsungkan perkahwinan dengan jejaka berasal dari Belanda itu, esok.

Puteri tunggal Sultan Johor dan Permaisuri, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris itu sedang menyiapkan mahligai baharunya sebagai persediaan mengharungi kehidupan selepas mendirikan rumah tangga.

"Kami akan berpindah ke rumah sendiri dan memulakan kehidupan sebagai pasangan suami isteri.

"Ini adalah pertama kali saya akan tinggal sendiri, dan jauh dari ayahanda, bonda serta ahli keluarga lain," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pejabat media dan komunikasi rasmi keluarga diraja Johor, Royal Press Office (RPO), di sini, semalam.


TUNKU Tun Aminah dan Dennis Muhammad menjelang perkahwinan mereka yang dijadualkan pada 14 Ogos 2017. - Foto ihsan Royal Press Office

Sementara itu, Dennis Muhammad, berkata baginya Tunku Tun Aminah seorang insan yang amat istimewa.

"Dia seorang yang menarik, namun dalam masa yang sama tegas dan mempunyai nilai kekeluargaan yang kukuh. Dia juga amat rapat dengan keluarganya, seperti saya dengan keluarga di Belanda," katanya.

Dennis Muhammad yang memeluk Islam sebelum mengenali Tunku Tun Aminah berkata, beliau berasa terharu apabila diterima menjadi sebahagian daripada keluarga diraja Johor.

Katanya, walaupun mengahwini seorang anak raja, beliau tetap akan bekerja kerana ayahnya pernah menegaskan betapa pentingnya untuk bekerja bagi menampung kehidupan keluarga.

Beliau kini memegang jawatan kanan dalam sebuah syarikat pembangunan hartanah utama di bandar raya ini.

14673 dibaca
Berita Harian X