Selasa, 15 Ogos 2017 | 12:02am
MOHD Fiqri dinobatkan sebagai johan qari Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) peringkat Pantai Barat Sabah dan peringkat negeri Sabah pada Februari dan Mac lalu. - Foto Johary Indan

Bekas busker pimpin kariah masjid

TANPA melihat keadaan fizikalnya, pasti ramai beranggapan menjadi imam muda bukanlah sesuatu yang luar biasa, lebih-lebih lagi seseorang bergelar qari atau ustaz.

Itulah kelebihan yang dimiliki Mohd Fiqri Mohd Fahmi dari Kampung Somodon, Topokon, di sini, apabila mampu menggalas tugas memimpin kariah masjid ketika waktu solat meskipun berdepan dengan pergerakan yang agak terbatas kerana cacat penglihatan.

Dalam usia 22 tahun, johan qari Majlis Tilawah al-Quran (MTQ) Sabah bagi tahun 2017 itu, bukan sahaja menjadi imam di surau kampungnya, malah menggalas tugas sebagai bilal Masjid An-Nur Daerah Tuaran dan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Mohd Fiqri berkata, pada masa yang sama, beliau turut dilantik menjadi guru kelas belajar al-Quran untuk orang dewasa di surau Kampung Somodon.

"Kelas biasanya dibuat pada waktu malam ketika saya tidak bertugas sebagai bilal di Masjid An-Nur Daerah Tuaran atau Masjid Bandaraya di Kota Kinabalu. Ketika kelas, saya akan mendengar bacaan al-Quran murid dan membetulkan mana-mana sebutan yang salah.

MOHD Fiqri Mohd Fahmi mengendalikan kelas belajar membaca al-Quran berpandukan kemahiran bacaannya dan nota dalam tulisan braille. - Foto Johary Indan

"Saya biasanya merujuk nota berkaitan yang saya sediakan dalam bentuk simbol braille ketika mengajar.

"Walaupun saya tidak nampak anak murid yang mengikuti kelas, saya puas hati dapat menyampaikan ilmu al-Quran kepada mereka," katanya kepada BH.

Menyingkap kehidupannya, Mohd Fiqri dilahirkan di Kapit, Sarawak kerana bapanya, Mohd Fahmi Abdullah, 40-an dari daerah berkenaan, manakala ibunya, Fatin Najihah Abdullah, 40-an, dari Tuaran.

"Ketika dilahirkan, saya buta sepenuhnya dan bergantung kepada bantuan orang lain untuk menemani ke mana saja, selain perlu menghafal banyak surah bagi membolehkan saya menunaikan tugas sebagai imam.

"Bagi saya, orang buta pun boleh buat seperti orang celik. Apa yang membezakan cuma dari segi usaha. Orang buta perlu berusaha lebih untuk belajar ilmu agama hingga boleh menjadi imam berbanding orang biasa," katanya. 

MOHD Fiqri mencipta sejarah apabila menjadi antara dua peserta OKU yang menggunakan al-Quran braille pada majlis tilawah al-Quran. - Foto Johary Indan

Mohd Fiqri mendalami ilmu agama, khususnya bacaan al-Quran sejak berusia enam tahun iaitu bermula dari prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru dari tahun 2000 hingga 2007.

"Saya mengikuti kelas pembelajaran biasa pada sebelah pagi dan kelas agama pada waktu petang. Ketika itulah saya belajar membaca al-Quran braille sebelum melanjutkan pendidikan menengah di Sekolah Menengah (SM) Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 2008 hingga 2010.

"Selepas tamat Tingkatan Tiga, saya menyambung pelajaran di SM Pendidikan Khas Vokasional Indahpura, Johor, dalam bidang refleksologi dari tahun 2011 hingga 2012.

"Kemudiannya, saya menyambung pelajaran al-Quran di SK Pendidikan Khas Princess Elizabeth dari 2013 hingga 2014.

"Selepas itu, saya mengambil kursus urut badan di Malaysian Association For The Blind di Brickfield, Kuala Lumpur pada tahun 2015 sebelum mengikut ibu kembali ke Sabah pada tahun lalu," katanya.

MOHD Fiqri ditemani datuknya, Singgim Rangguan, 76, balik dari surau Kampung Somodon, Topokon di Tuaran selepas mengendalikan kelas bacaan al-Quran. - Foto Johary Indan

Beliau berkata, tiada apa lagi yang hendak dikejarkan kerana cita-citanya sejak kecil hendak menjadi seorang imam, sudah tercapai.

"Sebagai imam di surau kampung Somodon, saya sering ditugaskan membaca khutbah terutama ketika solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha dan pastinya bukan mudah berbanding orang yang celik.

"Walaupun dibekalkan teks khutbah dalam bentuk halaman kosong mengandungi titik timbul atau braille, bukan mudah menyampaikan khutbah dengan lancar dalam keadaan jari-jemari perlu meramas teks bagi menterjemah simbol braille kepada sebutan," katanya.

Beliau yang biasanya ditemani ibu dan datuknya, Singgim Rangguan @ Mohd Salleh Abdullah, 76, tidak pernah menganggap kekurangan fizikal sebagai penghalang.

Mengenai penyertaannya pada MTQ, Mohd Fiqri berkata, semuanya bermula ketika pertandingan di Johor, bagaimanapun beliau gagal meraih sebarang hadiah.

"Sekembali ke Sabah pada tahun lalu, saya menyertai MTQ peringkat Pantai Barat Sabah juga tidak berjaya.

"Bagaimanapun, Mac tahun ini saya sekali menyertainya dan dinobatkan johan qari, sekali gus mewakili Sabah ke MTQ kebangsaan di Melaka, April lalu.

"Ketika MTQ di Melaka, saya bersama seorang lagi qari senasib dari Kelantan mencipta sejarah sebagai dua peserta orang kelainan upaya (OKU) yang julung kali menggunakan al-Quran braille ketika memperdengarkan bacaan," katanya.

Katanya, ketika di Johor, beliau pernah menyertai kumpulan penyanyi jalanan atau busker dan membuat persembahan di Angsana Johor Bahru Mall, selain di restoran sekitar bandar raya berkenaan.

Berita Harian X