Selasa, 15 Ogos 2017 | 7:14pm
NAJIB bergambar bersama Duta-duta selepas menyampaikan buku risalah eVisa ketika majlis Pelancaran eVISA dan eVCOMM. Turut bersama Ahmad Zahid di Jabatan Imigresen Malaysia. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
NAJIB bergambar bersama Duta-duta selepas menyampaikan buku risalah eVisa ketika majlis Pelancaran eVISA dan eVCOMM. Turut bersama Ahmad Zahid di Jabatan Imigresen Malaysia. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

eVISA tingkat keselamatan, promosi Malaysia

PUTRAJAYA: Program Visa Elektronik (eVISA) yang dilaksanakan sejak Mac tahun lalu membawa negara ke tahap keselamatan lebih tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata malah eVisa juga berupaya mempromosi Malaysia sebagai negara yang lebih selamat untuk rakyat, pelancong dan komuniti perniagaan.

Katanya, melalui program itu juga, kerajaan yakin dapat membantu mempromosi negara sebagai pusat pelancongan, pendidikan, pelancongan kesihatan dan perubatan serta pelaburan antarabangsa yang tersohor di seluruh dunia.

Perdana Menteri berkata, sejak program itu diperkenalkan, jumlah pemohon visa dalam kalangan rakyat China contohnya meningkat sebanyak 284,606 orang antara Mac 2016 hingga April lalu, selain 323,173 orang memohon melalui Pendaftaran dan Maklumat Perjalanan Elektronik (eNTRI).

"Bagi tempoh yang sama juga, permohonan visa bagi warganegara India turut meningkat sebanyak 91.1 peratus, iaitu daripada 36,442 visa yang diluluskan pada Mac 2016 kepada 69,635 visa pada April lalu.

"Justeru, melalui penambahbaikan terhadap program ini, kita jangka mampu menarik lebih ramai pelancong khususnya dari China dan India, terutama bagi mereka yang ingin merasai pengalaman percutian melalui penawaran pelbagai pakej menarik dan unik dengan harga yang berpatutan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program eVisa dan Pusat Komunikasi eVisa (eVCOMM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Ketika ini, permohonan eVISA boleh dilakukan oleh rakyat 10 negara iaitu China, India, Myanmar, Nepal, Sri Lanka, Pakistan, Bangladesh, Bhutan, Serbia dan Montenegro.

eVISA membolehkan pelancong dan pelajar antarabangsa serta ekspatriat mendapatkan visa ke Malaysia dalam tempoh 48 jam, tanpa perlu ke Pusat Sehenti Setempat atau kedutaan dan konsulat seperti sebelum ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X