Jumaat, 18 Ogos 2017 | 6:19pm
MAS Ermieyatie (tengah) bergambar dengan peserta sebelum mencuba sukan Skytrex di Taman Botanikal, Ayer Keroh, hari ini. - Foto BERNAMA

Promosi pelancongan sempena KL2017

AYER KEROH: Penggiat industri pelancongan tempatan mesti memanfaatkan penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang bermula esok sehingga 30 Ogos ini.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata mereka patut mempromosi pelbagai produk pelancongan seperti termasuk makanan tempatan kepada pelancong yang datang bersempena dengan acara sukan berpestij itu.

Katanya, jumlah pelancong akan bertambah sepanjang KL2017 dan beberapa lokasi menjadi tumpuan mereka untuk menyaksikan acara tertentu.

"Penggiat industri perlu bijak mengambil peluang mempromosi produk masing-masing dan pada masa sama, masyarakat wajar menampilkan budaya tempatan kepada pelancong," katanya.

Beliau ditemui selepas menyertai acara Eco Trail di Skytrex Taman Botanikal Melaka, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kementerian Pelancongan negeri, Jeffry Munir serta Pengarah Kebudayaan dan Kesenian negeri, Zulkarnain Ramly.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, orang ramai dipelawa menyaksikan KL Fashion Week 2017 (KLFW) yang kini berlangsung di Pavilion, Kuala Lumpur sehingga Ahad ini.

"Pelbagai fesyen pakaian dapat disaksikan sempena festival ini dan industri terbabit turut menyumbang kepada ekonomi negara," katanya.

KLFW yang bermula Rabu lalu menampil 150 pereka tempatan dan antarabangsa, termasuk dari China, India, Australia, Jepun, Filipina dan Korea Selatan.

Antara pereka fesyen tempatan yang mengambil bahagian Rizman Ruzaini, Syaiful Baharim, Farah Khan, Fizi Woo, House of Doll, Eclipse, Alia Bastamam serta Nurita Harith.

Berita Harian X