Ahad, 20 Ogos 2017 | 10:23am
Augustine Tuuga

Sabah lindungi tenggiling

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar Sabah dalam proses menjadikan tenggiling haiwan yang dilindungi sepenuhnya bagi memelihara spesies berkenaan daripada ancaman pemburuan haram.

Pengarahnya, Augustine Tuuga, berkata haiwan itu sudah disenaraikan dalam Apendiks Satu Konvensyen Dagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Terancam (CITES).

Menerusi penyenaraian itu yang dipersetujui pelbagai negara ketika persidangan CITES di Johanesburg, Afrika Selatan pada tahun lalu, katanya, tenggiling tidak boleh dibawa keluar dari habitatnya, dijual atau diperdagangkan kecuali untuk penyelidikan.

"Bagaimanapun, di peringkat negeri, tenggiling belum dikategorikan sebagai haiwan dilindungi sepenuhnya. Kita dalam proses untuk menyenaraikannya dan diharap dapat dibentang dan dikuatkuasakan tidak lama lagi.

"Usaha ini penting bagi memastikan tenggiling tidak pupus di negeri ini," katanya kepada BH.

Ketika ini, tenggiling hanya disenaraikan di Bahagian Satu Jadual Dua, Enakmen Hidupan Liar Sabah 1997, yang bermaksud ia boleh diburu dengan lesen.

Baru-baru ini, isu tenggiling menjadi hangat apabila lebih satu tan sisik haiwan itu dianggar bernilai RM100 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah.

Mengulas perkembangan siasatan kes itu, Augustine berkata, pihaknya masih menunggu kes dibawa ke mahkamah oleh JKDM sebelum boleh melakukan siasatan berhubung asal usul haiwan berkenaan.

"Kita perlu tunggu kes dibawa ke mahkamah sebelum barang kes diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar bagi membolehkan kita membuat analisis sama ada sisik haiwan itu berasal dari Sabah atau bukan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya masih menyiasat kes gajah mati akibat ditembak di Kinabatangan baru-baru ini.

Pada 7 Ogos lalu, seekor gajah Pygmy betina ditemui mati dengan beberapa kesan tembakan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Hutan Simpan Malua, Kinabatangan.

Berita Harian X