Ahad, 20 Ogos 2017 | 3:51pm
ORANG ramai dinasihat menggunakan kad TnG ketika menaiki LRT, MRT dan monorel Rapid KL ke gelanggang pertandingan Sukan SEA. - Foto hiasan

Guna kad TnG elak kesesakan ke Sukan SEA - Rapid Rail

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihat menggunakan kad Touch & Go (TnG) ketika menaiki LRT, MRT dan monorel Rapid KL ke gelanggang pertandingan Sukan SEA ke 29, terutama di Kompleks Sukan Bukit Jalil.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir Zohari Sulaiman, berkata penggunaan kad TnG MyRapid atau kad TnG biasa dapat melancarkan perjalanan keluar masuk di stesen berkenaan.

Beliau turut menasihatkan pengguna memastikan nilai baki kad TnG mencukupi bagi mengelak kesesakan di kaunter dan laluan masuk hingga menyebabkan penumpang lain terpaksa menunggu lebih lama.

Katanya, pengguna pengangkutan awam akan menikmati diskaun 50 peratus sehingga 31 Ogos ini.

"Sekiranya perlu menggunakan token, orang ramai dinasihatkan membeli dua token berasingan untuk pergi dan balik supaya tidak perlu beratur di mesin pembelian tiket ketika waktu pulang.

"Orang ramai dinasihat menggunakan token yang betul bagi mengelak kesesakan berulang kejadian 52,566 pengguna beratur panjang membeli token selepas tamat upacara perasmian temasya Sukan SEA, di Stesen LRT Bukit Jalil, semalam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rapid KL adalah penyedia pengangkutan rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 ke 29 (KL2017) yang menyediakan perkhidmatan rel LRT, MRT dan monorel serta bas ganti-ganti.

Seramai 45,368 penumpang menggunakan kad TnG dan token melalui pintu automatik LRT ke Kompleks Sukan Bukit Jalil bagi menyaksikan upacara pembukaan rasmi temasya Sukan SEA, yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, malam tadi.

Jumlah itu tidak termasuk hampir 7,198 sukarelawan dan petugas yang dibenarkan menggunakan perkhidmatan Rapid KL percuma sebagai sokongan pengendali pengangkutan awam itu kepada temasya sukan tersohor berkenaan.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X