Isnin, 21 Ogos 2017 | 3:07pm
SULTAN Nazrin berkenan hadir pada majlis perasmian program Kem Sains Asia 2017 di UTAR, Kampar. - Foto L Manimaran

Peranan saintis harus diperluaskan - Sultan Nazrin

KAMPAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, saintis termasuk saintis muda seharusnya memainkan peranan penting dalam pembangunan dasar serta peraturan berkaitan kemajuan sains dan teknologi.

Baginda bertitah, saintis boleh menggunakan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang masing-masing untuk memastikan kemajuan sains serta teknologi itu dapat dikawal dan diuruskan dengan berkesan bagi manfaat semua manusia.

"Sumbangan berguna juga boleh dilakukan menerusi pertukaran dan debat berkaitan sains yang melangkau sempadan seperti program ini," titah baginda ketika merasmikan program Kem Sains Asia 2017 di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Presiden UTAR, Prof Datuk Dr Chuah Hean Teik.

Seramai 340 peserta terdiri daripada pelajar universiti dari 30 negara termasuk Malaysia menyertai program selama tujuh hari itu bermula semalam.

Sultan Nazrin bertitah, cabaran daripada perubahan sains dan teknologi ketika ini dan kesannya terhadap masa depan harus diteliti dan dibincangkan secara terbuka.

Baginda bertitah, semakin banyak masyarakat memahami perubahan yang sedang berlaku, maka semakin mudah untuk mengawalnya dan digunakan dengan lebih berkesan.

"Adalah sukar untuk melaksanakan strategi terhadap masa hadapan yang tidak diketahui, tetapi sekarang harus ada analisis dan debat awam yang lebih meluas mengenai senario masa depan yang berbeza dan kesannya.

"Terdapat pertambahan inisiatif dalam bidang berkaitan `pandangan masa hadapan' ('future-watching') yang mana penawaran memberi maklum balas terhadap permintaan, dan usaha seperti itu harus dipertingkatkan dan diperluaskan sekarang," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, pelaburan besar dalam pendidikan terutama bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) perlu menjadi keutamaan segera, bagi memastikan sebarang analisis dan debat disokong oleh pendekatan kritikal dan penuh maklumat.

Titah baginda, kemajuan sains dan teknologi boleh menjadi ancaman dan pada masa sama berupaya memberi kebaikan kepada sektor pekerjaan dunia termasuk membuka peluang pekerjaan baharu.

"Inilah sebabnya mengapa pembuat dasar, undang-undang dan pendidikan khususnya dalam (STEM) sangat penting.

"Ini memerlukan perbincangan awam dan perbincangan dasar yang lebih meluas mengenai semua isu berkaitan, termasuk aspek yang lebih mencabar berkaitan dengan kawalan dan peraturan," titah baginda. 

FAKTA

# 340 peserta terdiri daripada pelajar universiti

# 30 negara peserta termasuk Malaysia

# Program 7 hari bermula semalam

Berita Harian X