Isnin, 21 Ogos 2017 | 4:44pm
ROSYAM (dua dari kiri) dan Tengku Sharifuddin (dua dari kanan) pada sidang media sempena misi mendaki Menara KL. - Foto Adi Safri
ROSYAM (tiga dari kiri) bersama pendaki ketika misi mendaki Menara KL sempena kempen promosi #QuranHour. - Foto Adi Safri
ROSYAM (tiga dari kanan) yang mengetuai Misi Pendakian Menara Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
ROSYAM (tiga dari kanan) yang mengetuai Misi Pendakian Menara KL sempena promosi #QuranHour' bergambar bersama 20 peserta lain sebelum memulakan misi berkenaan. - Foto BERNAMA
ROSYAM (kiri) yang mengetuai Misi Pendakian Menara KL sempena promosi #QuranHour' bersama 20 peserta lain memulakan pendakian di Menara KL. - Foto BERNAMA

Rosyam Nor sempurna misi tawan Menara KL promosi #QuranHour

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit filem terkenal, Datuk Rosyam Nor berjaya menamatkan misi mendaki Menara Kuala Lumpur dalam masa kira-kira sejam sempena kempen #QuranHour dan Hari Kebangsaan ke-60.

Ikon Rumah Ngaji dan Duta #World QuranHour itu yang mengetuai kumpulan pendaki seramai 20 orang, memulakan misi dari Eco Rimba, Menara Kuala Lumpur pada jam 10.30 pagi.

Misi berkenaan turut disertai pendaki solo negara, Mohd Noor Amin dan wakil Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kumpulan pendaki tiba di Sky Deck, pelantar terbuka Menara Kuala Lumpur pada kira-kira pada jam 11.30 pagi.

Mereka kemudian menyerahkan al-Quran, panji World #QuranHour/Merdeka #QuranHour dan Jalur Gemilang kepada Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad.

Acara julung kali itu diakhiri dengan bacaan doa selamat dan laungan azan.

Rosyam berkata, misi berkenaan simbolik menjelang kemuncak kempen menggalakkan budaya membaca al-Quran yang akan berlangsung hujung bulan ini.

"Apabila mendaki tangga demi tangga, pada awalnya saya rasa mudah tetapi di pertengahan dan penghujung, mula rasa sukar kerana kami bukan ahli sukan.

"Terbayang bagaimana kesusahan Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah bersama sahabat untuk mengajak umat memeluk Islam.

"Apa yang kami lakukan ini perkara amat kecil, tetapi di sini terbayang bagaimana kesusahan Rasulullah SAW dan sahabat mengembangkan Islam," katanya pada sidang media selepas menamatkan pendakian.

Rosyam berkata, kempen World#Quran Hour akan dilancarkan pada 30 Ogos ini bersamaan 9 Zulhijjah 1437.

Buat pertama kali, kempen Merdeka#Quran Hour diadakan di Dataran Merdeka, di sini pada jam 8 malam serentak ambang Hari Kebangsaan ke-60.

Info
World #QuranHour

  • Dijadualkan pada jam 11.30 pagi, 31 Ogos ini.
  • Bertempat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM, Gombak.
  • Sambutan juga pada jam 8.30 malam di Dataran Merdeka, dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Berita Harian X