Isnin, 21 Ogos 2017 | 8:41pm
KETUA Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang di Majlis Pelancaran Program Sikal Elektrik Rakyat 1Malaysia di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

"Selangor belum bagi sebut harga"

KUALA LUMPUR: Usaha penstrukturan semula bekalan air Selangor akan terus tertangguh selagi kerajaan negeri tidak memperuntukkan sebut harga untuk proses perolehan.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata rundingan antara Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan kerajaan negeri dilaksana berdasarkan prinsip model persetujuan bersama.

"Perolehan membabitkan SPLASH dan Kerajaan Selangor belum dimuktamadkan kerana tiada peruntukan sebut harga yang dikemukakan untuk pelaksanaan fasa pengambilalihan aset.

"Semua pihak perlu faham bahawa peranan KeTTHA terhadap usaha penstrukturan semula bekalan air Selangor adalah sebagai pemudah cara, justeru inisiatif ini akan terus tertangguh selagi kerajaan negeri tidak mengemukakan sebut harga.

"Sehubungan itu, kita tidak boleh menguatkuasakan Seksyen 114 menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 kerana tindakan sedemikian adalah pramatang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaini menjelaskan, Seksyen 114 memberi kuasa kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mengendalikan pengurusan aset dan pengoperasian perniagaan oleh pemegang lesen yang terbabit dalam membekalkan air bersih kepada pengguna.

Beliau berkata, peruntukan seksyen berkenaan tidak memberikan kuasa kepada SPAN untuk melupuskan aset pemegang lesen atau sebarang tindakan yang bercanggah dengan akta berkenaan.

"Peranan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pasca fasa peralihan adalah membangunkan aset air untuk operator dan diserahkan kembali kepada mereka mengikut terma pajakan, selain mengambil kira kadar tarif yang rendah.

"Berdasarkan kelulusan SPAN, operator pembekal air mempunyai pilihan untuk membina atau menaik taraf aset air baharu menerusi peruntukan bantuan yang disalurkan PAAB.

"Operator juga boleh menggunakan bantuan kewangan dari sumber lain, asalkan kos pembiayaan adalah sama atau lebih rendah berbanding yang ditawarkan PAAB," katanya.

Berita Harian X