Selasa, 22 Ogos 2017 | 6:50pm
MAHDZIR semasa menyampaikan anugerah kepada Pengetua SMK Seri Kembangan, Tay Keng Lee (kanan) pada majlis Anugerah Tawaran Baharu Kepada Pengetua dan Guru Besar di Auditorium Kementerian Pendidika Malaysia. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kementerian Pendidikan kumpul maklum balas NGO

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan mengadakan perjumpaan dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bulan depan bagi mendapatkan maklum balas berhubung cadangan menghantar pelajar yang mempunyai masalah disiplin serius menjalani program pemulihan di penjara.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya juga akan mendapatkan nasihat perundangan untuk melihat pelaksanaan cadangan itu dari segi undang-undang termasuk peruntukan kuasa kementerian.

Katanya, walaupun cadangan itu mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak, beliau secara peribadi berpendapat langkah itu mampu menangani masalah disiplin di sekolah terutama buli dan gangsterisme.

"Pada saya, masalah ini tidak boleh diurus dengan perlahan dan lembut. Ia perlu diurus dengan lebih 'keras', barulah kita boleh menghadapinya.

"Contohnya, ada satu kes dalam video di mana ketua buli memukul (seorang pelajar) dan anda fikir bagaimana budak berusia 15 atau 16 tahun boleh berkelakuan seperti itu. Kita tidak boleh nasihatkan dia 'jangan buat lagi'. Saya rasa sudah tidak boleh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Tawaran Baharu Kepada Pengetua dan Guru Besar dan pelancaran Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang Dua (SKPMg2) di sini, hari ini.

Mahdzir turut memperbetulkan persepsi umum yang menganggap program itu berbentuk tahanan terhadap pelajar di penjara, sebaliknya ia program kesedaran. Pelajar akan dibawa melawat penjara dan diberi penerangan mengenai hukuman yang mungkin dihadapi mereka jika melakukan kesalahan tertentu.

Minggu lalu, Mahdzir dilaporkan berkata, pelajar yang mempunyai masalah disiplin serius, akan dihantar menjalani program pemulihan di penjara dan lokap dalam usaha Kementerian Pendidikan memerangi gejala sosial di sekolah.

Program itu yang sedang dirangka, dijangka siap tidak lama lagi sebelum dilaksanakan secara rasmi.

Sebagai permulaan, program itu akan membabitkan kumpulan pelajar yang sudah digantung persekolahan selama enam bulan disebabkan masalah yang disiplin serius termasuk buli.

Berita Harian X