Selasa, 22 Ogos 2017 | 9:23pm
KESEMUA 134 lorong tambah nilai pada plaza tol lebuh raya PLUS di seluruh negara, akan ditutup buat sementara waktu kepada pengguna mulai 29 Ogos hingga 4 September ini. - Foto hiasan

Lorong tambah nilai PLUS ditutup sementara

KUALA LUMPUR: Kesemua 134 lorong tambah nilai pada plaza tol lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di seluruh negara, akan ditutup buat sementara waktu kepada pengguna mulai 29 Ogos hingga 4 September ini.

Langkah itu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas pada laluan plaza tol berkenaan sempena cuti  Hari Kebangsaan dan Aidiladha, yang masing-masing akan disambut pada hujung bulan ini dan awal bulan depan.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata penutupan lorong itu dibuat selepas kajian mendapati setiap transaksi urusan tambah nilai boleh mengambil masa sehingga tiga minit untuk setiap kenderaan dan ada yang beratur untuk menambah nilai kad masing-masing.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian dan kajian PLUS, langkah menutup sementara semua perkhidmatan lorong tambah nilai pada musim perayaan yang lalu berjaya mengurangkan kesesakan di plaza tol.

"Langkah yang sama diambil PLUS pada cuti sambutan Aidilfitri dan Tahun Baru Cina yang lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Azman menasihati pengguna lebuh raya supaya memastikan kad masing-masing mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.

"Sebelum memulakan perjalanan, pengguna dinasihatkan menambah nilai kad yang boleh didapati pada 9,200 lokasi, antaranya kedai serbaneka 24 jam, stesen minyak atau mesin juruwang automatik (ATM) seluruh negara," katanya.

Berita Harian X